SAINTIS terkemuka dunia, Albert Einstein, pernah berkata, “Tugas sains antara lain adalah untuk menemukan keindahan alam.”
Sekiranya diamati, sains adalah satu subjek yang menyeronokkan. Ia bersifat universal dan seharusnya dipelajari bagi memastikan setiap daripada kita sentiasa memperolehi ilmu pengetahuan baharu yang membawa manfaat kepada kehidupan. Malah, seorang saintis itu memainkan peranan besar dengan menjalankan penyelidikan untuk
memperbaiki kehidupan masyarakat.
Analisis World Economic Forum pada tahun 2020 menunjukkan literasi sains dan komunikasi adalah dua daripada 16 kemahiran abad ke-21 yang perlu dikuasai generasi muda supaya mempunyai kecekapan dan ketangkasan dalam menghadapi cabaran dan ancaman masa hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada mesyuarat Majlis Sains Negara yang berlangsung 8 April lalu berkata, di Malaysia ketika ini hanya terdapat 47% jumlah pelajar dalam bidang STEM dan sains tulen pula hanya sebanyak 19%.
Peratusan ini berpotensi untuk dipertingkatkan sekiranya ada kesedaran tinggi akan kepentingan dan keperluan sains dalam kehidupan. Walaupun subjek sains telah giat dipromosikan di peringkat sekolah, namun apabila pelajar-pelajar dimomokkan dengan stigma bahawasanya subjek berteraskan sains adalah sukar dikuasai, ia sedikit sebanyak akan menutup keyakinan mereka untuk meneroka bidang ini dengan lebih luas.
Justeru itu, perlu ada satu usaha yang sistematik dalam melaksanakan komunikasi sains yang efektif dan menarik untuk menyemai minat orang ramai khususnya generasi muda iaitu golongan pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pengiktirafan
Malaysia mempunyai ramai saintis muda yang hebat dalam bidang masing-masing. Kajian dan penemuan yang disalurkan bukan sahaja menerima pengiktirafan dalam negara bahkan di peringkat global.
Pada tahun 2021, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) telah mengiktiraf 22 penerima Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2021 atas sumbangan dan pencapaian mereka yang cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE). Merentasi pelbagai disiplin, penerima anugerah TRSM mengubah landskap penyelidikan dan menyumbang kepakaran mereka
sebagai penasihat dalam bidang STIE di Malaysia.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba, ketika ini Young Scientists Network, Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM) mempunyai lebih 250 ahli dan telah mengiktiraf 225 saintis muda terbaik di negara.
“Setakat ini, saintis termuda yang ada berusia 28 tahun. Melihat keadaan itu, saya menggesa ASM membuat pencarian lebih ramai saintis muda di awal usia persekolahan dengan mengadakan pelbagai program bersama masyarakat,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu, bersempena dengan Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia yang berlangsung pada April hingga Oktober 2022, YSN-ASM akan melaksanakan 25 program dan aktiviti utama dalam usaha membantu menyemai dan meningkatkan minat terhadap sains dalam kalangan masyarakat, khususnya para pelajar. Ini wajar dilihat sebagai satu langkah positif yang bertepatan dengan matlamat MOSTI iaitu ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’.
Anugerah Saintis Muda Negara
Inisiatif kerajaan dalam meningkatkan lebih banyak penyelidikan dijalankan dan pencarian pelapis baharu tempatan dalam bidang sains dan teknologi menerusi Anugerah Saintis Muda Negara 2022 dan Anugerah Juruteknik (Sains) Negara 2022.
Untuk makluman, kedua-dua anugerah ini telah diadakan secara serentak setiap tahun sejak 1985. Tujuannya adalah bagi memberi pengiktirafan terhadap kerja dan pencapaian cemerlang para saintis muda dan juruteknik sains dalam pembangunan sains dan teknologi negara.
Ia diharap dapat menjadi motivasi dan galakan kepada para saintis muda tempatan untuk
meningkatkan kecemerlangan, kreativiti dan sumbangan dalam bidang penyelidikan sains dan teknologi.
Bagi tahun 2022, pendaftaran calon untuk anugerah-anugerah ini telah pun dibuka secara atas talian menerusi pautan di portal MOSTI iaitu www.mosti.gov.my . Pencalonan adalah berdasarkan kriteria berikut:
Anugerah Saintis Muda Negara 2022:
• Terbahagi kepada dua kategori iaitu Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Hayat) dan Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Fizikal).
• Terbuka kepada saintis warganegara Malaysia di bawah umur 35 tahun pada tahun pertandingan.
• Menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) di pusat
penyelidikan dan institusi pengajian awam/swasta di Malaysia.
Anugerah Juruteknik (Sains) Negara 2022:
• Terbuka kepada juruteknik (Sains) warganegara Malaysia dan semi-profesional seperti juruteknik/pembantu makmal serta kakitangan separa ikhtisas yang berkaitan dengan sains dan teknologi.
• Menjalankan projek penyelidikan di pusat penyelidikan awam atau institusi swasta di Malaysia.
Pemenang bagi Anugerah Saintis Muda Negara 2022 akan menerima wang tunai berjumlah RM10,000.00, plak, sijil penghargaan dan geran penyelidikan MOSTI bernilai sehingga RM1,000,000.00 untuk setiap kategori. Manakala bagi Anugerah Juruteknik (Sains) Negara pula akan menerima wang tunai berjumlah RM10,000.00, plak dan sijil penghargaan.
Inisiatif penganjuran anugerah dan pengiktirafan ini merupakan satu langkah positif dalam mendorong saintis muda agar tampil dengan hasil penyelidikan masing-masing yang berpotensi untuk diketengahkan. Ini secara tidak langsung mampu menyumbang kepada ekosistem STIE yang lebih kondusif dan tangkas dalam mencapai matlamat Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
Oleh: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi