MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid. derogatory Prophet Muhammad Indians Hindu Hindus Islam Muslims
Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak polis agar segera menyiasat kumpulan di Malaysia yang menyatakan secara terbuka menyokong penghinaan terhadap Rasulullah SAW di India.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia berdasarkan kepada video tular yang menunjukkan beberapa lelaki di kuil Hindu  menyatakan sokongan kepada ahli politik kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) di India yang baru-baru ini menghina Rasulullah SAW.

“Apakah mereka adalah warga Malaysia atau warga India kerana perlakuan mereka adalah suatu intimidasi terhadap umat Islam di negara ini dan boleh mencetuskan ketegangan antara agama.

“Jika mereka adalah warga dari India, maka pihak polis dan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap kehadiran mereka di negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan pendatang yang cuba mencetuskan konflik antara agama di negara ini.

“Pihak polis perlu menyiasat sema ada negara ini telah dicerobohi oleh puak fanatik nasionalis Hindu daripada kumpulan RSS di India yang kini melancarkan kempen kebencian terhadap Islam dan Muslim.

“RSS adalah kumpulan aliran keras Hindu di India yang membawa ideologi Hindutva iaitu ketuanan Hindu.

“Ideologi ini mengapi-apikan penganut agama Hindu untuk membunuh orang Islam di India. Adakah kumpulan ini sudah mengembangkan sayapnya di Malaysia?” soalnya.

Katanya, MAPIM mendesak pihak berkuasa agar tidak tidak bertolak ansur dengan kumpulan ini dan perlu diambil tindakan mengikut undang-undang negara ini.

Minggu lalu, gempar apabila dua ahli politik daripada BJP, Nupur Sharma dan Naveen Jindal mencetuskan kontroversi mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan.

Sharma dilaporkan menghina junjungan besar baginda dan isteri Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah menerusi debat minggu lalu.

Ekoran itu satu perhimpunan aman dilakukan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan di negara ini membantah perbuatan itu dan antara lain mahu memboikot produk-produk keluaran India. – MalaysiaGazette