KUALA LUMPUR – Golongan kurang berpengetahuan dalam dunia permotoran menjadi sasaran utama sindiket penipuan jual beli motosikal secara dalam talian.
Sindiket ini telah bergiat aktif sejak November tahun lalu sehingga kini dianggarkan seramai 350 mangsa telah ditipu membabitkan kerugian sekitar RM100,000 hingga RM250,000.
Pengurus Pemasaran Ebidmotor.com Sdn Bhd, Ricky Chea mendedahkan, sindiket itu bijak kerana mereka memilih dan menggunakan kaedah mengklonkan beberapa kedai motosikal yang memiliki ramai pengikut di media sosial sebagai umpan mengundang mangsa.
“Berdasarkan statistik kita sehingga hari ini, aduan atau pun pertanyaan yang telah dilaporkan kepada Ebidmotor.com dianggarkan sebanyak 350 kes. Ada yang kita bantu mangsa ini membuat laporan polis dan kita juga buat laporan bagi menjaga nama syarikat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Antara mereka yang sering menjadi mangsa terdiri daripada golongan B40 dan M40. Statistik umur pula dalam lingkungan 22 hingga 35 tahun manakala dari tahap pendidikan mangsa adalah ijazah (72%), diploma (22 %) dan lain-lain (6%).
Demografik pula kebanyakan mangsa terdiri dari Lembah Klang (62%), Selatan (20%), Pantai Timur (15%) dan selebihnya adalah di Utara.
Tambah Ricky, scammer berkenaan bukan sahaja menggunakan maklumat syarikatnya malah beberapa gambar motosikal syarikat iturut digunakan untuk memancing pembeli.
Dia juga mendakwa, scammer juga berani untuk datang sendiri ke kedainya bagi merakam visual serta menangkap gambar bagi meyakinkan pembeli bahawa mereka ini adalah penjual yang sah.
“Pertama, kalau ingin beli barang yang mahal seperti lebih RM500, kami recommend atau cadang terus datang ke kedai. Selain itu kalau betul- betul ingin buat pembayaran secara online.
“Mereka boleh buat terus buat pembayaran dengan memastikan bayaran itu masuk ke dalam akaun bank syarikat tersebut. Contohnya, kalau orang nak beli dekat Ebidmotor.com, pastikan akaun bank itu adalah Ebidmotor.com Sdn Bhd bukan nama akaun persendirian.
“Jika mereka ingin membeli barang tapi lokasinya jauh atau tidak ada masa disebabkan kerja untuk datang walk in, mereka boleh memilih untuk buat panggilan video dengan pegawai jualan. Panggilan video dulu penting untuk tengok muka dan barang yang ingin dibeli.
“Terakhir, kalau mereka nak buat bayaran secara atas talian tapi meragukan kerana suspek itu adalah scammer, mereka boleh guna laman web Semak Mule untuk buat semakan samaada akaun itu adalah scammer atau benar,” jelasnya.
Katanya lagi, pihaknya bukan sahaja telah membuat laporan pada pihak polis berhubung isu yang sama malah dua laporan pada pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM).
Bagaimanapun, sehingga kini, suspek masih belum dapat ditangkap dan masih menunggu perkembangan daripada pihak berkuasa.
Berdasarkan statistik kes penipuan dalam talian di negara ini bagi tempoh 2017 hingga tahun lalu, sebanyak 98,607 kes dilaporkan dengan kerugian dianggarkan bernilai RM3.3 bilion.
Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Telekomunikasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Superintendan Rozeni Ismail berkata, dalam tempoh sama, lebih 30,000 individu ditahan dan daripada jumlah itu lebih 25,000 individu telah dituduh di mahkamah. – MalaysiaGazette