Azmi Muslim.

KUALA LUMPUR – Mohamad Azmi Muslim sedia mencurahkan pengalamannya hampir 17 tahun di Liga Malaysia bagi membantu cabaran PDRM FC.

Setelah dilepaskan Penang FC bagi sertai PDRM secara pinjaman bagi baki saingan musim ini, pemain berusia 36 tahun ini berharap dia boleh menjadi pembimbing kepada pemain muda di dalam skuad ‘The Cops’.

“Jujur yang saya bersyukur dapat tawaran dari PDRM dan jurulatih, Wan Rohaimi mungkin melihat saya dari sudut pengalaman.

“Tambahan kita tahu PDRM dibarisi ramai pemain muda, jadi beliau harap saya boleh membantu mereka sama ada semasa latihan atau perlawanan.

“Cuma selaku seorang pemain sepertimana orang lain, saya tidak boleh cipta keajaiban bagi membantu PDRM.

“Apa yang saya boleh janjikan adalah bantu PDRM sedaya-upaya mendapatkan seberapa banyak mata dari pusingan kedua Liga Premier bagi meraih kedudukan yang lebih baik,” katanya.

Dia yang memulakan karier melalui rancangan realiti MyTeam pada 2006 pernah beraksi dengan banyak pasukan besar semasa di kemuncak karier seperti Kedah, JDT, ATM, Selangor dan Melaka United.

Malah, Azmi Muslim juga sentiasa mendapat panggilan skuad negara pada tahun 2009 hingga 2014.

Dalam pada itu, Azmi akui sedih terpaksa meninggalkan Penang FC tetapi akur dengan keputusan pengurusan yang mengakui namanya sudah tiada dalam perancangan jurulatih baharu, Zainal Abidin Hassan.

Sebagai pemain bola sepak profesional, dia anggap itu sebagai sesuatu yang lumrah dan berharap Pulau Pinang masih mampu kekal di pentas Liga Super musim depan.

“Saya telah berada selama dua setengah musim di Pulau Pinang dan terpaksa tinggalkan pasukan ketika mereka sedang berada di tangga terbawah liga.

“Bimbang jika ada penyokong katakan yang saya sengaja tinggalkan pasukan ketika dalam kesukaran tetapi percayalah saya juga mahu bantu Pulau Pinang jika diberi peluang.

“Namun saya akur dengan keputusan pengurusan tetapi dalam masa sama saya mendoakan agar Pulau Pinang untuk terus kekal di Liga Super pada musim depan, ” katanya. – MalaysiaGazette