Soh Thian Lai

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan dapat mempertimbang rayuannya membabitkan moratorium Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh separuh kedua 2022 sehingga sekurang-kurangnya separuh pertama 2023 berikutan persekitaran perniagaan yang mencabar pada masa ini.

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata, permintaan itu mengambil kira kelewatan enam bulan  impak harga bahan api terhadap tarif elektrik, terutama arang batu dan gas asli yang tidak berkurangan ke tahap pra-COVID-19 akibat gangguan utama pasaran minyak serantau dan wilayah serta ketidaktentuan akibat perang Rusia-Ukraine.

“Pengilang tempatan sedang berdepan tekanan hebat untuk mengawal cabaran kenaikan kos berikutan tekanan inflasi yang tinggi, kenaikan kadar gaji minimum, kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos pengangkutan, gangguan rantaian bekalan global serta penyusutan ringgit.

“Kemampuan pengilang untuk menyerap kos operasi yang tinggi dalam tempoh tidak menentu sekarang adalah amat terhad. Ini boleh memberi kesan terhadap barangan pengguna sekiranya tiada bantuan diterima bagi membantu menangani beberapa kos input besar seperti tenaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Soh berkata FMM mencadangkan supaya surcaj yang terakru dalam tempoh cadangan moratorium itu dibahagikan dalam beberapa kitaran semakan semula tarif atau diimbangi terhadap rebat bagi semakan seterusnya jika ada atau sehingga ia kembali normal. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast