PUTRAJAYA – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendesak kerajaan untuk membuat keputusan sama ada mahu memansuh atau menarik balik pewartaan pengambilan tanah di bawah Seksyen 35 Akta Pengambilan Tanah 1960 mahupun di bawah peruntukan statutori lain.
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ini kerana terdapat dakwaan berlaku unsur berniat jahat dalam isu pengambilan tanah melibatkan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di Kuala Lumpur.
Susulan itu, beliau bersama wakil penduduk Kampung Sungai Baru hadir ke ibi pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 4.30 petang hari ini bagi membuat laporan agar siasatan dilakukan.
“Parti berpandangan bahawa penduduk pemilik rumah teres dan pemilik flat Kampung Sungai Baru tidak diberikan keadilan sewajarnya apabila pewartaan pengambilan tanah dibuat secara tergesa-gesa.
“Sedangkan rundingan antara pemaju dan pemilik masih berjalan dan cadangan usahasama belum dimuktamadkan sepenuhnya,” katanya yang membaca kenyataan media Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurut Khairuddin, pemilik tanah menuntut supaya pampasan yang setimpal diberikan secara rundingan bersama dan bukannya secara paksaan dengan menerima tawaran pampasan melalui prosiding pengambilan tanah.
“Kesemua penduduk pemilik rumah teres dan pemilik flat meluahkan rasa kekecewaan mereka apabila warta di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 dibuat pada 18 Jun 2021 (Jumaat) manakala warta di bawah Seksyen 8 akta sama dibuat pada 21 Jun 2021 (Isnin),
“Malah turut meragukan apabila kedua-dua warta tersebut dikeluarkan dalam tempoh masa singkat diselangi hari minggu dan ketika rakyat masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” ujarnya.
Khairuddin berkata, pemilik rumah teres dan pemilik flat Kampung Sungai Baru bukan anti pembangunan, sebaliknya mereka cuma menuntut keadilan yang saksama dapat diberikan berhubung isu itu. – MalaysiaGazette