Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Selagi pemimpin yang terlibat dengan Langkah Sheraton ada dalam parti kerajaan Perikatan Nasional (PN), mustahil bagi DAP menerima idea Pakatan Harapan (PH) untuk bergabung melawan Barisan Nasional (BN).

Perkara itu ditegaskan Pengerusinya, Lim Guan Eng selepas mengambil kira kebimbangan para penyokongnya jika perkara sama berlaku lagi andai PH menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Tegas beliau, pemimpin terbabit tentunya akan menggunakan alasan sama jika timbul keperluan mereka untuk terus berkuasa selepas PRU15 dan tinggalkan PH sebagaimana peristiwa Februari 2020.

“Ramai penyokong DAP tidak dapat terima idea PH untuk bekerjasama dengan pemimpin pembangkang tertentu, terutama yang merancang Langkah Sheraton atas hujah perkauman dan agama.

“Tidak mustahil selepas PRU15 ini mereka gunakan alasan atau taktik yang sama seperti Langkah Sheraton pada Februari 2020.

“Apa yang boleh saya katakan, mustahil untuk bekerjasama dengan mereka lagi,” katanya sebagaimana dipetik sebuah portal hari ini.

Kerjasama itu dicetuskan beberapa pemimpin PH yang berpandangan sekiranya blok pembangkang bergabung dengan PN, mereka boleh menewaskan BN pada PRU ini.

Namun, cadangan itu menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan pemimpin PH, yang rata-rata mengingatkan kepada kepimpinan parti masing-masing agar pisang tidak berbuah dua kali.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menegaskan, parti itu kekal dengan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pemimpin atau parti dalam PN.

“Walaupun ada pihak menyatakan PH boleh mengalahkan BN jika bergabung dengan PH, ia tidak boleh mengubah pendirian kami,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast