Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam sesi pertemuan dengan Ahli Dewan di-Raja Selangor dan Dr. Ahmad Yunus di Istana Bukit Kayangan Shah Alam Selasa lalu.

SHAH ALAM – Istana Selangor menegur tindakan Setiausaha Pas negeri itu, Roslan Shahir Mohd Shahir mengeluarkan kenyataan tidak tepat berhubung pendirian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam pertemuan baginda dengan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi Selasa lalu.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, dalam pertemuan itu, baginda tidak pernah menyatakan ingin tahu pendirian Pas berhubung perayaan Bon Odori.

“Baginda hanya menyatakan pendiriannya tidak menyekat festival kebudayaan Jepun itu yang akan diadakan di negeri Selangor, yang pada pandangan baginda hanya berunsur kebudayaan semata-mata.

“Baginda juga tidak menghalang mana-mana orang Islam untuk menghadirinya sehinggalah satu kajian mendalam dilakukan terhadap festival berkenaan, sama ada ianya berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat khususnya masyarakat Islam,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Roslan Shahir yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, kononnya baginda ingin tahu pendirian Pas berhubung perayaan itu dalam sesi pertemuan berkenaan.

Setiausaha Pas itu juga dilaporkan berkata, “Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda”.

Dalam sesi mengadap di Istana Bukit Kayangan Shah Alam petang itu, turut dititah hadir bagi menyaksikan pertemuan tersebut beberapa Ahli Dewan di-Raja Selangor.

Mereka ialah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Datuk Setia, Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah; dan Datuk Setia Salehuddin Saidin.

Sementara itu, Dr. Ahmad Yunus menafikan adanya sebarang perbincangan antara beliau dengan Sultan Selangor ketika mengadap baginda.

Beliau mengesahkan dalam pertemuan itu hanya mendengar titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan tidak ada sebarang perbincangan antaranya dengan baginda. – MalaysiaGazette