Ratusan peguam berkumpul ketika menyertai Himpunan Pertahankan Kebebasan Kehakiman anjuran Badan Peguam di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 500 ahli-ahli Majlis Peguam berhimpun di Padang Merbok pagi ini bagi menuntut kebebasan terhadap badan kehakiman.

Mereka telah berkumpul sejak pukul 9 pagi sambil melaungkan ‘bebas kehakiman’.

Himpunan itu sebagai protes terhadap dakwaan terdapat cubaan untuk melemahkan badan kehakiman negara.

Polis dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mula mengawal situasi di sepanjang laluan lokasi terbabit sejak pukul 7 pagi.

Kebanyakannya peguam yang hadir mengenakan sut hitam putih.

Sebahagian peguam yang menyertai Himpunan Pertahankan Kebebasan Kehakiman anjuran Badan Peguam di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JUN 2022.

Antara yang menyertai protes itu ialah bekas peguam negara Tommy Thomas, bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan serta Presiden Majlis Peguam Karen Cheah selaku penganjur himpunan.

Pengerusi jawatankuasa Majlis Peguam Roger Chan mula berucap berhubung kepentingan badan kehakiman yang bebas.

Selepas itu, beberapa peguam lain turut mengambi bahagian untuk berucap.

Polis hanya membenarkan beberapa wakil mereka bergerak ke Parlimen untuk menghantar memorandum kepada kerajaan namun, terdapat provokasi yang dilakukan oleh beberapa peserta terhadap polis.

Bagi meredakan keadaan polis mengerahkan Pasukan Unit Simpanan Khas (FRU) mengawal di Padang Merbok.

Sehingga berita ini ditulis, kesemua peserta masih lagi berkumpul dan belum lagi bersurai. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.