Sebahagian jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah Pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Jemaah Haji di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang. Foto MUHD NA'IM, 04 JUNE 2022.

MAKKAH – Isu gangguan emosi, masalah komunikasi suami isteri dan ketidakserasian antara rakan sebilik antara aduan yang diterima sepanjang musim haji.

Pengurus Kaunseling Operasi Haji, Mohammad Hanif Napi berkata, sesetengah jemaah dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sebilik, tetapi ada juga yang terlalu sukar menerima karenah jemaah lain hingga mengalami tekanan perasaan.

“Kebiasaannya, isu penyesuaian agak dominan kepada jemaah lelaki mahupun wanita dan berlaku juga ketidaksediaan mereka dalam berdepan suasana di sini. Ada yang daripada tanah air lagi mempunyai simptom rasa cemas dan telah dapatkan rawatan psikiatri dan di sini ia turut berlaku.

“Tetapi, ada juga yang tidak mempunyai masalah itu di tanah air dan merasa cemas di Tanah Suci kerana faktor persekitaran. Jika keadaan dilihat memerlukan pemerhatian lanjut, kami akan bersama doktor pakar menanganinya,” katanya di bangunan Abraj Al Janadriyah, yang menempatkan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) dan penginapan jemaah.

Hanif berkata, meskipun jumlah aduan yang diterima sangat kecil, tetapi ia tetap diambil perhatian serius bagi memastikan jemaah mendapat ketenangan sehingga selesai ibadah haji, malah pihaknya menyediakan perkhidmatan kaunseling dari bilik ke bilik.

“Persediaan yang rapi dari sudut kesihatan mental dan psikologi di Tanah Suci ini sangat penting, jadi di samping mendapatkan ilmu kefahaman hukum hakam ibadah haji, jemaah boleh dapatkan bantuan dan maklumat tentang perkara yang boleh dilakukan (di Makkah) sejak di tanah air lagi.

“Jemaah juga disaran selesaikan apa yang tak selesai di tanah air. Penerimaan dengan jemaah haji lain penting dan sentiasa berdoa agar dipermudahkan urusan,” katanya.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama lapan tahun dalam pengurusan kaunseling berkata, selain masalah itu, pihaknya juga akan bersama jemaah sekiranya terdapat khabar duka dari tanah air mahupun di Tanah Suci.

Katanya, sesetengah jemaah akan berdepan situasi kematian ahli keluarga dan mereka memerlukan sokongan moral untuk terus bersemangat meneruskan ibadah.

Dalam keadaan itu, pihak kaunseling akan bersama unit Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (Pihtas), dan rata-rata jemaah akan redha dengan keadaan yang berlaku, malah meneruskan ibadah sehingga selesai musim haji.

Sementara itu, kaunselor TH, Khodrulnada Mohamad berkata, berdasarkan pengalamannya, kebanyakan aduan berjaya diselesaikan, kecuali melibatkan psikiatri kerana ia akan melibatkan rawatan agak lama.

Katanya, lawatan bilik ke bilik juga berkesan dan setiap aduan yang diterima akan dimaklumkan kepada pihak pengurusan serta kerahsian pengadu sentiasa terpelihara. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast