KUALA LUMPUR – Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, (UniKL MIAT) menjalinkan kerjasama dengan Cranfield University di United Kingdom bagi mengorak langkah melahirkan tenaga pakar dalam bidang aeroangkasa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jalinan kerjasama itu dirangka bagi program pasca ijazah yang berteraskan pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional peringkat tinggi atau High-TVET (H-TVET), sekali gus mendukung  pembangunan teknologi dan keperluan industri aeroangkasa negara.

“Saya semalam sempat berjumpa dengan Pro Naib Canselor, Profesor Helen dan juga Dekan Kejuruteraan Aeroangkasa dan kalau boleh kita hendak universiti ini dapat memberi kerjasama dengan UniKL untuk meningkatkan lagi tahap pencapaian pelajar-pelajar kita,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Mahdzir kini dalam siri lawatan ke United Kingdom menjelaskan, persetujuan jalinan kerjasama itu dicapai hasil daripada sesi libat urus bersama Pro Naib Canselor Cranfield Univerity, Profesor Helen Atkinson di kampus universiti itu di Bedfordshire, United Kingdom semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahdzir berkata, dengan kerjasama itu UniKL dapat meningkatkan kepakaran dan tenaga kerjanya dalam mengendalikan program pengajian  H-TVET untuk program pasca ijazah selaras dengan keperluan industri dan teknologi aeroangkasa yang terkini.

“Kerjasama sebegini akan merapatkan hubungan di antara kedua-dua buah universiti yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pembangunan industri melalui program pasca ijazah yang bakal dijalankan di UniKL,” katanya lagi.

Selain itu tambah Mahdzir, kerjasama itu juga membolehkan UniKL membina pusat kecermerlangan serantau program pasca ijazah aeroangkasa yang berorientasikan kepada keperluan industri.

Dengan ini ia mampu mewujudkan ekosistem di antara pemain industri aeroangkasa sama ada di peringkat pengurusan atau teknikal yang dapat mencernakan pembangunan syarikat-syarikat aeroangkasa Malaysia ke peringkat global.

Untuk itu, satu perjanjian kerjasama bagi tempoh lima tahun akan dimeterai tidak lama lagi diantara kedua-dua pihak.

Menurut Mahdzir, kelebihan Cranfield University adalah kaitannya secara langsung dengan syarikat Airbus dan Rolls-Royce yang boleh dimanfaatkan oleh UniKL MIAT.

“Kita di UniKL MIAT di Sepang dan Subang telah ada pelajar dalam kejuruteraan aeroangkasa di peringkat sijil profesional, diploma dan ijazah sarjana muda.

“Jadi kita nak tingkatkan lagi kualiti capaian pelajar-pelajar dan kita hendak supaya ada peningkatan dari segi dalam capaian di peringkat sarjana dan juga Phd,” jelas Mahdzir.

Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan, Pejabat Dekan dalam Pengurusan Projek UniKL MIAT, Mulia Minhat, Cranfield University juga bersetuju untuk memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar UniKL menerusi program perantisan dan latihan praktikal di universiti itu.

Mulia yang bertanggungjawab dengan program Pembangunan Strategik Latihan Teknikal Aeroangkasa UniKL MIAT ini menambah, graduan program Ijazah Sarjana Muda UniKL juga akan mendapat pendedahan luas kepada teknologi aeroangkasa terkini dan bekerja dengan syarikat-syarikat aeroangkasa antarabangsa.

UniKL MIAT katanya terbabit dalam pembangunan aeroangkasa selaras dengan Pelan Rangka Kerja Industri Aeroangkasa negara dan juga Pelan Cetakbiru Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

“Ini akan membantu mereka menjadi lebih yakin dan berketerampilan dan akhirnya meningkatkan kebolehpasaran mereka untuk mendapat peluang pekerjaan di syarikat-syarikat global aeroangkasa.

Dari erti kata lain, graduan sedemikian berpotensi untuk menjadi tenaga kerja bakat masa hadapan dan berpendapatan tinggi dan akhirnya, dapat membantu negara menjadi negara berpendapatan tinggi,” jelas Mulia.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast