KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa kehilangan penyanyi dan pelakon terkenal, Allahyarhamah Adibah Noor yang meninggal dunia kelmarin.
Siti memuji keperibadian arwah dan menyifatkannya sebagai seorang yang merendah diri, tidak lokek ilmu serta seorang penghibur sejati.
Selain itu, penyanyi itu juga melahirkan rasa kagum terhadap arwah selalin mendedahkan dirinya sentiasa menantikan persembahan penyanyi lagu popular Terlalu Istimewa itu dalam satu-satu majlis dan acara.
“Takziah buat keluarga arwah kak Adibah Noor. Semalam semasa pengajian bersama Ustaz Wadi Anuar di rumah, saya dapat berita pemergian insan yang disayangi ramai.
“Sempat kami beramai-ramai mendoakan arwah. Kak Adibah, sepanjang mengenalinya, seorang yang sangat disenangi, suka berjenaka, tidak lokek ilmu, merendah diri serta penghibur sejati.
Mengulas lanjut, Siti Nurhaliza memohon orang ramai sedekahkan Al-Fatihah selain mendoakan agar penyanyi berkenaan ditempatkan bersama insan terpilih.
“Tetapi kini arwah telah pergi meninggalkan kita pulang ke negeri abadi. Kita juga akan pulang bila sampai masanya..Marilah sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah yang pernah buat kita ketawa dan menyentuh hati kita dengan kebaikannya.
“Semoga arwah ditempatkan bersama insan terpilih di sana. Ya Allah, ampunilah dia dan kasihanilah dia Ya Allah,” tulisnya.
Allahyarham mengembuskan nafas terakhir di Hospital Gleaneagles di sini petang Sabtu lalu akibat kanser ovari tahap empat.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, kira-kira pukul 11.30 pagi semalam. – MalaysiaGazette