Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya ahli serta penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) bangkit membela Datuk Seri Najib Razak dengan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pendakwaan terpilih yang dikenakan ke atas bekas presiden parti itu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim berkata, ini bukan soal hendak ketepikan keputusan mahkamah sebaliknya penjelasan mengenai pertuduhan kes SRC International dan 1MDB itu berdasarkan penilaian sendiri.

“Mungkin di tahun 2018, UMNO dan penyokongnya tidak ada masa hendak perjelaskan semua ini tetapi sekaranglah masanya.

“Bukan soal kita nak ketepikan keputusan hakim, hakim buat keputusannya tapi kita sebagai rakyat mesti ada penilaian sendiri.

“Hakim pun boleh buat silap, kita boleh tengok beberapa kes yang hakim silap tapi itu hal lain, kita sebagai rakyat juga mesti faham isu ini, isu peranan pihak yang terlibat dengan 1MDB,” katanya menerusi rakaman video yang dimuatnaik dalam Facebooknya semalam.

Menurut Zaid, jika ahli dan penyokong UMNO menghayati betul-betul peranan saksi dan pendakwaan, mereka boleh membuat keputusan yang adil ke atas Najib.

“Saya rasa eloklah UMNO memberi penjelasan, jangan was-was, jangan bimbang kalau orang kata kamu sokong penyangak, kamu penyokong perasuah.

“Kes belum habis lagi dan banyak keterangan yang diberikan itu hanya dengar cakap. Ertinya, “ini Jho Low suruh”, “saya ingat Jho Low suruh” dan apabila saksi sebut Jho Low, persepsinya terus kepada Najib.

“Jadi, Pilihan Raya Umum (PRU) sudah dekat, isu ini akan menghantui rakyat khususnya kerusi-kerusi Parlimen atau DUN di bandar, yang mana pengundinya intelektual dan profesion, mereka ini masih lagi tidak faham atau mereka yakin Najib bersalah seratus peratus,” katanya.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi UMNO Kelantan merasakan elok ahli dan penyokong parti itu memberi penjelasan dalam aspek berkenaan.

Katanya, penjelasan dan penerangan itu penting untuk rakyat faham agar parti tidak dituduh sebagai kumpulan yang tidak kenang budi.

“Contohnya, ada dalam kalangan ahli dan penyokong marah apabila Najib dijemput naik pengangkutan awam MRT. Marah apabila Najib dijemput ke istana oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Sedangkan, kerana Najib yang merangka dan menjayakan MRT sehingga menjadi pengangkutan terbaik di Lembah Kelang, sekali gus penggunaan kereta tidak banyak di jalan raya dan lebuh raya.

“Mengenai jemputan ke istana, apa salahnya? Proses mahkamah belum lagi selesai dan Yang di-Pertuan Agong adalah raja, dia nak jemput siapa, terpulang pada dia. Kalau dia boleh ampun orang itu orang ini, takkanlah nak jemput Najib tak boleh?” soal beliau.

Zaid turut menyatakan kesediaannya untuk membantu UMNO dan BN dalam menjelaskan isu yang dihadapi Najib kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast