Onn Hafiz pada sidang DUN Johor hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Lebih 12 juta pengguna keluar dan masuk di  laluan kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) sejak sempadan negara menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dibuka 1 April lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, angka itu direkodkan sehingga 14 Jun lalu membabitkan pengguna warga negara dan warga asing.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor melaporkan sejumlah 6.3 juta warga negara dan 2.3 juta warga asing menggunakan laluan CIQ BSI bermula April hingga 14 Jun.

“Manakala, seramai 2.7 juta warga negara dan 704,000 warga asing pula melalui CIQ KSAB bagi tempoh yang sama.

“Untuk makluman, statistik purata masuk dan keluar warga Malaysia dan penggembara di CIQ BSI adalah seramai 138,000 orang sehari manakala di CIQ KSAB pula adalah seramai 28,000 orang sejak pembukaan sempadan pada April lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Andrew Chen Kah Eng (PH – Stulang) yang mahu mengetahui menerangkan keadaan sempadan Malaysia – Singapura termasuk bilangan aliran orang di CIQ BSI dan CIQ KSAB sejak sempadan dibuka.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri sedar bahawa bilangan keluar dan masuk pengguna di kedua-dua CIQ itu,mencatatkan peningkatan yang mendadak.

Jelasnya perbincangan telah dibuat dengan semua agensi bagi memastikan usaha lebih fokus, demi menjamin imej dan reputasi kerajaan negeri dan persekutuan.

Sebagai contoh katanya, beberapa inisiatif akan dijalankan kerajaan negeri di CIQ BSI dengan sokongan pelbagai agensi di peringkat negeri dan persekutuan.

Antaranya inisiatif dengan menambah lorong motosikal kepada 75 lorong daripada 50 lorong dengan setiap satu disertakan kaunter hibrid.

“Di lorong kereta pula, kerajaan akan melaksanakan sistem single loading double capacity bagi menjimatkan masa pemandu di kaunter.

“Penggabungan kemudahan Touch ‘n Go di kaunter Imigresen bagi laluan kereta sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Februari  2023,” katanya. – MalaysiaGazette