Rina Mohd Harun

PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, golongan lelaki jangan segan untuk hadir bagi mendapatkan bantuan kaunseling sekiranya mereka berdepan dengan sebarang masalah.

Namun beliau berkata, ini kerana golongan itu didapati sukar meluahkan masalah yang dihadapi dalam sesi kaunseling secara individu.

Sebaliknya, menurut beliau, kaum lelaki lebih selesa untuk berkongsi secara ramai kerana mereka tahu bukan sahaja berdepan dengan masalah yang dihadapi.

“Kita lihat kaum lelaki ini antara salah satu yang kita kenal pasti, apabila berseorangan, mereka agak sukar untuk meluahkan masalah yang dihadapi, oleh sebab itu di LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara), kita juga buat sesi kaunseling secara berkelompok antara 10 hingga 15 orang.

“Bila buat sesi ini, kaum lelaki lebih mudah untuk bercerita kerana mereka tahu bukan mereka sahaja berdepan dengan masalah dan ia turut memberi peluang kepada mereka untuk tampil dan bercerita mengenai isu dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya, di sini, hari ini.

Semalam, Rina berkata, seramai 22,156 lelaki di negara ini mendapatkan khidmat kaunseling daripada LPPKN atas pelbagai masalah sejak 2019 sehingga Jun.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 33 peratus berkaitan masalah dengan pasangan, 20 peratus masalah kewangan, 17 peratus masalah keluarga manakala 30 peratus lagi lain-lain masalah.

Sementara itu, Rina memberitahu, perkhidmatan kesejahteraan lelaki di Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN akan diperluaskan di seluruh negara sekiranya mendapat maklum balas positif daripada golongan tersebut.

Beliau berkata, KNS LPPKN di Dungun, Terengganu merupakan projek rintis peringkat negeri yang menawarkan perkhidmatan tambahan untuk bantuan psikososial dan pendidikan kesihatan termasuk rawatan sakit tuan.

“Semalam, saya melancarkan projek rintis yang menyediakan perkhidmatan saringan dan kesejahteraan untuk lelaki, kita lihat dahulu bagaimana sambutan daripada kaum lelaki, jika ada sambutan, kita akan luaskan di peringkat setiap negeri.

“KNS LPPKN ini walaupun untuk keluarga, tapi ia lebih fokus untuk wanita dan kita mahu klinik ini ada tambahan perkhidmatan iaitu untuk kaum lelaki,” katanya. – MalaysiaGazette