KUALA LUMPUR – Empat murid Sekolah Kebangsaan Sri Pintar di Subang Jaya dekat sini hari ini mengalami rasa pening dan loya selepas gas penunu bunsen di makmal sekolah bocor semasa mereka membuat eksperimen.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.20 tengahari tadi.
“Hasil pemerhatian dan siasatan di lokasi mendapati kebocoran gas penunu bunsen jenis mudah alih berlaku semasa murid sekolah menjalankan uji kaji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norazam, empat murid yang melakukan eksperimen di makmal itu mengalami rasa loya.
Keempat-empat murid berusia 11 tahun itu telah dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.
“Mereka hanya mengalami simptom pening dan loya. Anggota bomba tidak membuat apa-apa di lokasi kerana sekolah sudah kembali beroperasi seperti biasa sejurus selepas kejadian itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette