Gerakan Media Merdeka (GeramM)

KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (GeramM) mengulangi gesaan agar diwujudkan undang-undang bagi melindungi hak wartawan dalam menjalankan tugas mengikut etika yang ditetapkan oleh Majlis Media Malaysia sebagai badan kawalan kendiri.

Menerusi kenyataan di Facebook, GeramM berpandangan sebarang cubaan untuk menghalang media dari menjalankan tugas, apatah lagi dengan melibatkan tindakan fizikal, adalah tidak dapat diterima.

Geramm merujuk kepada insiden kekecohan yang berlaku hari ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam apabila seorang peguam mewakili Samirah Muzaffar dan dua remaja dalam kes pembunuhan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund cedera selepas terlibat dalam pergelutan dengan jurugambar.

“Perlu diingatkan, media boleh menyiarkan gambar dan nama mana-mana tertuduh dalam sebarang kes kecuali jika melibatkan kes juvana.

“Dalam kes ini, pihak peguam mewakili tertuduh seharusnya memaklumkan sekiranya terdapat sebarang pertimbangan untuk melindungi identiti suspek.

“Pada masa yang sama, #kawangeramm juga seharusnya mengelak dari melakukan sebarang tindakan provokasi atau menyerang balas kecuali jika terdesak untuk mempertahankan diri,” katanya.

Terdahulu hari ini, peguam, S. Suresh yang sedang berjalan bersama Samirah dan peguam lain ke kamar mahkamah dikepung oleh jurugambar yang menjalankan tugas.

Suresh dikatakan menghampiri jurugambar dan merampas kad media yang tergantung di lehernya.

Suresh dilihat menepis kamera seorang jurugambar dan pengamal media itu dikatakan membalas dengan menendang peguam itu.

Sureh yang ditemui selepas perbicaraan melibatkan kematian Nazrin Hassan berkata, beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu membuat laporan polis terhadap insiden berkenaan. – MalaysiaGazette