KULAI – Perbuatan seorang pemandu melarikan diri selepas lorinya menyebabkan kemalangan maut di sini semalam membabitkan sebuah motosikal membawa padah apabila diberkas polis.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat kejadian berkenaan di Jalan Senai-Seelong arah ke Senai di sini pada pukul 8.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dengan sebuah lori jenis Hino.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki berusia 21 tahun itu cuba mengelak lori dipandu lelaki berusia 44 tahun yang sedang membelok ke kanan.
“Situasi itu menyebabkan penunggang motosikal telah hilang kawalan dan melanggar batu pembahagi jalan di kiri jalan,” katanya menerusi kenyataan media.
Seng Lee berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, selepas kejadian, pemandu lori bertindak melarikan diri dari lokasi kemalangan.
“Kita berjaya mengesan pemandu lori yang terbabit dan telah menahannya pada pukul 7.12 petang. Kini suspek dalam tahanan reman selama dua hari,” ujarnya.
Menurut Seng Lee, mayat penunggang motosikal dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-757 3507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- MalaysiaGazette