Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Sharizan Shaharuddin (kanan) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Auditorium Jakim, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 21 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Semua kakitangan di bawah jabatan dan agensi agama diingatkan supaya membudayakan budaya kerja cemerlang dalam gerak kerja masing-masing selaras dengan imej Islam yang dibawa mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, mereka juga merupakan duta bagi jabatan dan agensi Islam di negara ini.

“Apa-apa juga yang kita lakukan akan memberi kesan kepada wajah Islam.

“Kalau buruk layanan pegawai kita kepada pelanggan, orang akan nampak betapa tidak mesranya agama Islam.

“Kalau agensi kita lewat menjawab surat atau lewat mengambil tindakan, orang akan nampak betapa lemahnya pengurusan hal ehwal Islam. Ini akan memburukkan imej Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Auditorium JAKIM, di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff (kanan), bergambar bersama bergambar bersama para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Auditorium Jakim, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 21 JUN 2022.

Pada majlis itu, seramai 148 warga cemerlang Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerima sijil APC dan wang tunai RM1,000 yang dikreditkan ke akaun masing-masing.

Daripada jumlah itu, 98 kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 42 kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), lima kakitangan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji serta tiga kakitangan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS).

Idris mahu semua kakitangannya menerapkan tiga prinsip kerja seharian di pejabat iaitu kerja sebagai ibadah (ubudiyyah), akauntabiliti (mas’uliyyah) dan kerja kualiti (itqan).

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, beliau turut mengingatkan warga jabatan itu bahawa pemberian anugerah berkenaan bukan hanya sebagai pendorong dan pengiktirafan kepada prestasi kerja cemerlang semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, dalam skop lebih luas, ia menjadi penggerak tranformasi dan peneraju perubahan positif dalam membudayakan kecemerlangan.

“Cemerlang bukan sekadar diukur dengan tercapainya sasaran kerja, tetapi juga perkhidmatan yang bersih dan berintegriti.

“Saya dan timbalan saya berasa bertuah kerana mempunyai pasukan yang mantap di semua 14 agensi.

“Anda semua adalah ‘pasukan Menteri Agama’ dan saya selesa bekerja dengan anda selaku penjawat awam yang sentiasa menyokong dan mendokong halatuju kerajaan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette