KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak berusia 3 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah Kondominium di Jalan Dutamas di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam lebih kurang 3.30 petang tadi,
“Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak itu ditemui terjatuh di tingkat tiga bangunan berkenaan.
“Ketika kejadian ibu mangsa berada di ruang tamu dan hanya mereka berdua berada di rumah sebelum kejadian,” katanya kepada media selepas sesi Town Hall berhubung isu online scammer oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 2, Kepong, di sini, hari ini.
Eng Lai menambah, kanak-kanak terbabit dipercayai masuk ke dalam bilik air dan memanjat tab mandi sebelum terjatuh melalui tingkap yang ada di dalam bilik tersebut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Kita akan merekodkan keterangan ibu mangsa nanti bagi membantu siasatan kerana keadaannya masih belum stabil dan menangis ekoran kehilangan anaknya,” ujar Beh Eng.-MalaysiaGazette