KUALA LUMPUR – MBSB Bank sedang dalam perbincangan berterusan dengan Jabatan Perhubungan Industri Kementerian Sumber Manusia (MOHR) berhubung beberapa tuntutan oleh ahli kesatuan dan akan diteruskan untuk mendapatkan bimbingan untuk menyelesaikan perkara ini secara baik.

Dalam kenyataannya MBSB Bank berkata, ia menghormati hak ahli-ahli kesatuan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan dan hak untuk berhimpun secara aman.

Bagaimanapun, katanya, bank itu memberi tumpuan untuk memastikan perhimpunan yang diadakan itu tidak akan membawa gangguan kepada perkhidmatan untuk pelanggan di semua 47 cawangannya di seluruh negara.

”MBSB Bank komited untuk berkembang seiring dengan perkembangan industri perbankan, yang telah berkembang pesat berikutan transformasi digital dan perubahan tingkah laku pelanggan,” katanya.

Semalam, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memecat pemangku CEO dan Pegawai Modal Insan Kumpulan (CPO) MBSB Berhad (MBSB) yang didakwa mendiskriminasi dan menindas hak pekerja.

Timbalan Presidennya, Abdul Jamil Jalaludeen berkata, pemecatan pengurusan tertinggi MBSB itu harus dipercepatkan kerana mereka tidak membawa sebarang manfaat kepada kerajaan sebagai bank yang mana kepentingannya dimiliki syarikat milik kerajaan (GLC), sekali gus menjaga keharmonian dan kepentingan pekerja MBSB.

Beliau mendakwa, pengurusan tertinggi MBSB dilihat bersikap anti kesatuan selain mewujudkan jawatan dikenali sebagai Duta Digital untuk menghalang dan memecahbelahkan pekerja MBSB daripada menyertai NUBE.

MBSB Bank dalam kenyataan itu berkata, ia mempunyai strategi dan rancangan yang selari dengan cita-cita ini dan aspirasi untuk menjadi sebuah bank Islam progresif terkemuka bersama-sama dengan pekerja.

Selaras dengan ini, MBSB Bank terus komited untuk meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula sebagai sebahagian daripada pembangunan bakat dan kemajuan kerjaya mereka. – MalaysiaGazette

NUBE gesa pecat CEO, CPO MBSB

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast