NUBE mengadakan piket bagi menyatakan bantahan terhadap pengurusan tertinggi MBSB di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memecat pemangku CEO dan Pegawai Modal Insan Kumpulan (CPO) MBSB Berhad (MBSB) yang didakwa mendiskriminasi dan menindas hak pekerja.

Timbalan Presidennya, Abdul Jamil Jalaludeen berkata, pemecatan pengurusan tertinggi MBSB itu harus dipercepatkan kerana mereka tidak membawa sebarang manfaat kepada kerajaan sebagai bank yang mana kepentingannya dimiliki syarikat milik kerajaan (GLC), sekali gus menjaga keharmonian dan kepentingan pekerja MBSB.

“NUBE tidak pernah menghadapi sebarang masalah dengan MBSB sebelum ini selain mempunyai hubungan yang harmoni ketika MBSB diterajui bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Allahyarham Datuk Seri Ahmad Zaini.

Abdul Jamil.

“Bagaimanapun, sejak pemergian beliau (Ahmad Zaini) dua individu dalam pengurusan tertinggi MBSB bertindak tidak berintegriti dan profesional selain mengambil tindakan bermusuhan dengan NUBE,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 100 orang anggota NUBE berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap pengurusan tertinggi MBSB di pekarangan luar premis terbabit.

Bantahan yang sama turut diadakan serentak di lima lagi negeri iaitu  Selangor, Perak, Kedah, Melaka dan Terengganu bermula jam 12.30 hingga 1.30 tengah hari.

Mengulas lanjut Abdul Jamil  berkata, pihaknya tiada pilihan kecuali mengadakan piket tersebut kerana mendakwa pengurusan tertinggi MBSB enggan menyelesaikan isu yang dibangkitkan.

Bantahan turut dilakukan serentak di lima negeri lain.

“Pengurusan tertinggi MBSB dilihat bersikap anti kesatuan selain mewujudkan jawatan dikenali sebagai Duta Digital untuk menghalang dan memecahbelahkan pekerja MBSB daripada menyertai NUBE.

“Terdapat juga isu diskriminasi ahli NUBE golongan B40 dan M50 yang tidak menerima bantuan kewangan yang dibayar sekali sebanyak RM1,000 sedangkan ia diberi kepada semua pekerja MBSB lain bagi kategori gaji asas RM5,000 ke bawah,” ujar beliau.

Seramai 150 daripada kira-kira 20,000 ahli NUBE berdaftar berkhidmat dengan MBSB di seluruh negara pada masa ini. – MalaysiaGazette