Presiden Media Tentera Rakyat, Majer (B) Zamri Abd Rahman menunjukkan senarai bekas tentera yang tidak ada rumah di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendesak kerajaan supaya jangan lepas tangan terhadap hak ahli-ahlinya mereka yang belum memiliki kediaman sendiri.

Presiden Media Tentera Rakyat (MTR), Mejar (B) Zamri Abd Rahman menegaskan, walaupun rata-rata veteran ATM sudah berusia namun masih ramai dalam kalangan mereka masih belum mempunyai rumah sendiri.

Desakan MTR itu perlu diberi keutamaan oleh Kementerian Pertahanan kerana mendakwa mereka sudah lama diketepikan hak.

Melalui aduan kepada pihaknya sepanjang minggu lalu, lebih kurang 20 veteran ATM di seluruh negara mengadu mereka belum memiliki rumah kerana sukar untuk memohon disebabkan faktor kewangan.

“Semasa berkhidmat sebagai askar, veteran ini ada membuat pemohonan rumah tapi sedihnya ada segelintir daripada mereka, sudah beli rumah tapi rumah tidak dapat-dapat.

“Itu adalah satu senario yang masih berlaku ketika ini. Ada juga veteran kita yang mengalami masalah kekangan kewangan mungkin disebabkan pencen atau gaji tidak mencukup untuk mereka memiliki rumah sendiri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Presiden Media Tentera Rakyat, Majer (B) Zamri Abd Rahman bercakap pada sidang media mengenai isu bekas tentera ramai tidak ada rumah di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2022.

Zamri turut memaklumkan, majoriti veteran yang terkesan adalah mereka yang berumur 40 hingga 75 tahun terutama mereka yang tidak mempunyai pencen ketika berkhidmat sebagai tentera.

Tambahnya, faktor mereka sukar untuk membeli kediaman sendiri disebabkan sering berpindah kerana faktor tugasan dan pembayaran gaji yang rendah sehingga sukar mendapat kelulusan pinjaman dari institusi kewangan.

“Kalau ditanya mengenai kategori gred, kebanyakan lain-lain pangkat dan tidak dinafikan ada juga pegawai turut terkesan. Bukan itu sahaja, ada juga antara veteran kita yang tiada kediaman menjadi gelandangan di sekitar Chow Kit.

“Kita juga ada bertemu veteran yang kini jadi gelandangan  di Kuantan,” ujarnya.

Presiden Media Tentera Rakyat, Majer (B) Zamri Abd Rahman menunjukkan senarai bekas tentera yang tidak ada rumah di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2022.

Zamri berkata, senario yang berlaku tidak boleh dipandang enteng terutama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM kerana hampir 2,000 tentera berhenti setiap bulan dan mereka sebenarnya tidak mengetahui nasib mereka pada masa depan.

Sehubungan itu, MTR berharap Kementerian Pertahanan dan agensi berkaitan dapat membuka mata serta turun padang mendekati nasib veteran ATM agar tidak terus dipinggirkan.

Mereka juga meminta permohonan untuk pembelian rumah mampu milik atau perumahan rakyat termiskin (PPRT) dapat dipermudahkan.

“Saya harap Kementerian Pertahanan bersama agensi berkaitan seperti koperasi tentera, lembaga tabung, lembaga perumahan ATM bertanggugjawab untuk menjaga kebajikan veteran ini.

“Kerajaan perlu memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang selesa bukan membiarkan pejuang negara ini terus hidup menumpang di rumah orang atau duduk bawah jambatan.

“Kami berasa amat dukacita dengan nasib yang menimpa veteran ATM di negara ini,” katanya.

Ditanya bila MTR akan membuat pertemuan bersama wakil Kementerian Pertahanan berhubung isu berkenaan, Zamri berkata, pihaknya akan berbuat demikian dalam masa terdekat dengan membawa senarai nama veteran ATM yang belum memiliki kediaman.

Justeru, warga veteran ATM yang terkesan dengan masalah yang sama boleh menghubunginya di talian 019-650 8321 atau Korporal (B) Abdul Rahman Chik di talian 019- 233 0978. – MalaysiaGazzete.