ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Polis telah mengambil keterangan daripada seorang individu bagi membantu siasatan melibatkan kes pergaduhan seorang pelakon di sebuah kondominium di Sentul pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi berkata, hasil siasatan mendapati individu berkenaan terlibat dalam insiden pergaduhan tersebut.

“Kita telah memanggil individu berkenaan minggu ini, dia telah pun tampil ke Ibupejabat Polis Daerah Sentul dan selesai dirakam keterangan oleh polis bagi membantu siasatan lanjut.

“Kertas siasatan kes kini sedang dilengkapkan untuk tindakan sewajarnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon didakwa belasah orang bebas jaminan polis

Terdahulu, seorang pelakon tempatan berusia 30-an yang pernah direman tiga hari kerana disyaki memukul jirannya di kondominium telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pelakon lelaki berusia 30-an berkenaan yang juga penghuni di kondominium yang sama disyaki menumbuk dan menendang mangsa dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pukul 8.30 malam. – MalaysiaGazette