KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kes penyelewengan pekerja asing.
Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, siasatan itu perlu bagi mencari mana-mana pihak yang terlibat dengan salah guna kuasa berhubung perkara itu.
“Kita minta pihak polis siasat sedalam-dalamnya dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) bertanggungjawab dalam isu ini. Malah Ketua Polis Negara pun kena tanggungjawab dalam isu ini kerana melibatkan maruah negara kita.
“Saya harap polis siasat perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ini laporan kali ketiga daripada pihaknya berhubung isu sama dan mendakwa tidak ada respon diberikan oleh pihak berkuasa setakat ini.
Jelas Ridzuan lagi, laporan polis itu dibuat bagi mendapatkan maklumat atas maklumat penyelewengan dan salah-guna kuasa berkenaan pelantikan dan penetapan kuota 25 agensi yang dibenarkan merekrut pekerja asing Bangladesh.
“Laporan akhbar bertarikh 17 Jun 2022 yang melaporkan Menteri Kebajikan Usahawan dan Pekerjaan Luar Negeri Bangladesh, Imran Ahmad telah menafikan perkara tersebut.
“Menteri Bangladesh itu menyatakan kerajaan atau perdana menterinya tidak pernah bersetuju dengan perkara itu dan tidak pernah menghadkan kuota agensi merekrut pekerja Bangladesh.
“Tindakan ini jika benar adalah satu pengkhianatan kepada amanah rakyat dan ancaman kepada keselamatan negara,” katanya.
Ahad lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan, dakwaan pihak tertentu mengaitkan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina terbabit dalam pemilihan 25 syarikat sebagai ejen penghantaran pekerja negara itu ke Malaysia sebagai palsu serta tidak berasas sama sekali.
Beliau menjelaskan, kenyataan susulan pertemuannya dengan Sheikh Hasina sebelum ini disalah tafsir sedangkan ia hanya menyentuh keadaan semasa keperluan pekerja asing dan inisiatif yang diambil kementerian dalam meningkatkan persekitaran pekerjaan yang sihat.
Katanya, sebanyak 250 syarikat yang dipilih dan akan bekerja dalam struktur 25 syarikat terdahulu. – MalaysiaGazette