KUALA LUMPUR – Felcra Berhad melalui anak syarikatnya, Felcra Processing & Engineering Sdn. Bhd (FPESB) membangunkan sebuah kilang memproses santan sawit jenama Suri dengan kos sebanyak RM3.5 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kilang pengeluaran secara komersil itu mampu menghasilkan sehingga 60 tan metrik santan sawit sebulan.

“Memandangkan permintaan tinggi terhadap santan sawit, Felcra mengambil keputusan untuk membuat pelaburan bagi membina kilang baharu ini dengan peningkatan kapasiti pengeluaran sekali ganda berbanding kilang lama.

“Pengeluaran santan sawit oleh Felcra ini juga sebagai alternatif kepada santan kelapa yang merupakan idea yang sangat strategik kerana ia dapat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna,” katanya di Teluk Intan, hari ini.

Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Kompleks Industri Felcra Processing & Engineering Sdn. Bhd. (FPESB) di Changkat Jong, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri II, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria; Pengerusi FPESB, Datuk Abdul Shukur Idrus dan Ketua Pegawai Eksekutif FPESB, Wan Ramlan Wan Abdullah.

Jelas Mahdzir, pembinaan kilang pengeluaran santan sawit itu juga sebahagian daripada inisiatif Felcra membantu pelan jaminan keselamatan makanan negara.

Tambahnya, KPLB menyediakan geran berjumlah RM3 juta menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi membina kilang tersebut.

Manakala baki kosnya menggunakan sumber dalaman FPESB.   

“Sebelum ini kita sudah ada sebuah kilang bagi memproses minyak kelapa sawit menjadi santan sawit secara manual sahaja sebagai kilang perintis yang beroperasi sejak 2012, tetapi sekarang kita telah bina kilang baharu dengan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dan operasi kilang adalah automatik sepenuhnya,” katanya.

Kilang seluas lebih 4,000 meter persegi itu, tambah Mahdzir, sudah mula beroperasi pada 21 Jun lalu dengan keupayaan memproses 2.8 tan metrik santan sawit sehari.

Ia menggantikan kilang lama yang hanya mampu menghasilkan santan sawit 1.7 tan metrik sehari atau 30 tan metrik sebulan.

Setakat ini produk Santan Sawit Suri mempunyai lima pengedar utama dan dijual di 40 buah pasar raya dan peniaga individu di negeri Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Pahang.

“Saya yakin kilang baharu ini akan meningkatkan pengeluaran dan bekalan santan sawit di pasaran yang sekaligus akan memenuhi keperluan permintaan terhadap santan sawit yang telah meningkat melebihi 100 peratus”, kata Mahdzir. – MalaysiaGazette