Norena Jaafar

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengesan kira-kira 20 premis yang dipercayai cuba menyorok bekalan minyak masak tulen botol bersubsidi demi mengaut keuntungan berganda susulan pemansuhan subsidinya minggu hadapan.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, ia melibatkan lebih 10 buah pasar raya dan kedai runcit di daerah Melaka Tengah manakala bakinya di Alor Gajah dan Jasin.

Menurutnya, penemuan itu adalah hasil pemeriksaan di bawah Op Ayam, Telur dan Minyak Masak (Op ATM) sejak awal bulan ini bagi mengesan tindakan peniaga yang cuba menyorok bekalan masak botol bersubsidi bagi mengaut keuntungan berganda selepas 1 Julai ini.

“Seperti diketahui umum, subsidi minyak masak tulen berbotol bagi 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg akan dimansuhkan berkuatkuasa 1 Julai ini dan ini membuka peluang kepada segelintir premis ini menyorok bekalan sedia ada untuk mengaut keuntungan berganda.

“Kini terdapat 20 buah premis ‘panas’ di bawah pemerhatian kami kerana kita mengesyaki pemilik sedang cuba mengawal jualan bekalan minyak masak tulen bagi pek kemasan botol 2kilogram (kg), 3kg dan 5kg.

“Bagaimanapun, setakat ini kita tidak menyesan kesalahan menyorok ayam dan telur kerana ia mempunyai tarikh luput yang singkat dan tidak boleh disimpan lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Walkabout bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Pasar Awam Bachang, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, sebanyak 235 kesalahan telah direkodkan termasuk 161 daripadanya dikenakan tindakan di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Sulaiman melakukan tinjauan ayam di Pasar Besar Melaka di Bachang hari ini.

“Kita juga telah merekodkan sejumlah 344 aduan, 111 adalah berkaitan harga, transaksi dalam talian (93), perkhidmatan mengelirukan (77), bengkel kenderaan bermotor (20), barang kawalan (15) dan 21 atas pelbagai kesalahan selain itu.

“Sebanyak 161 notis telah dikeluarkan kepada peniaga bagi mengesan sebarang kemungkinan pencatutan dilakukan,” katanya.

Selasa lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan subsidi minyak masak tulen berbotol bagi 2kg, 3kg dan 5kg tidak akan diteruskan selain turut memansuhkan kawalan harga siling ayam dan telur ayam berkuat kuasa 1 Julai.

Menurutnya, langkah itu dilaksanakan untuk memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun, subsidi minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram dan pada harga RM2.50 sepeket, masih diteruskan.

KPDNHEP menetapkan harga maksimum bagi minyak masak di dalam botol bersaiz 1kg (RM6.70), 2kg (RM12.70) dan 3kg (RM18.70). – MalaysiaGazette.