Arul Kanda witness tampering 1MDB audit report Najib Razak
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berjalan keluar dari mahkamah selepas perbicaraan kes pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi berdasarkan Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia adalah teratur.

Beliau berkata, terdapat bukti untuk menunjukkan Arul Kanda mengetahui perbualan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dua mesyuarat mengenai audit 1MDB yang berlaku pada 2016.

Hakim Mohamed Zaini berkata, pihak pendakwaan telah memberikan alasan untuk permohonan itu dan pihak pembelaan tidak akan diprejudis.

Arul Kanda kemudian dipanggil ke kandang saksi untuk memberi keterangan.

Pada 20 Mei lepas, pihak pendakwaan memfailkan permohonan bertulis mengikut Seksyen 63 Akta SPRM 2009 untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi.

Di bawah Seksyen 63(1) dalam situasi dua atau lebih individu didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM, mahkamah boleh menghendaki seorang atau lebih daripada mereka untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi pihak pendakwaan jika permohonan bertulis dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama