Sulaiman Md Ali

MELAKA – Melaka membenarkan pelaksanaan penyembelihan korban pada Hari Raya Aidiladha tahun ini di masjid dan surau tanpa menghadkan bilangan haiwan dan hari.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuaratnya bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) baru-baru ini, setelah negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik COVID-19 sejak 1 April lalu.

“Kali ini kita benarkan sembelihan korban dan terpulang pada masjid serta surau nak buat berapa ekor pun, kita tiada halangan namun masih ada prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan.

“Saya dah bincang dalam mesyuarat MAIM tempohari. Insya-Allah tiada halangan had aktiviti raya korban kali ini berbanding tahun lepas kita cuma benarkan lima ekor sehari sepanjang empat hari ibadah korban,” katanya.

Sulaiman melakukan tinjauan ayam di Pasar Besar Melaka di Bachang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan harga barangan keperluan di Pasar Awam Melaka di Bachang, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Norena Jaafar.

Tahun lalu, Melaka menetapkan hanya 25 petugas berdaftar sahaja dibenarkan hadir ke tempat pengurusan korban di masjid dan surau dengan bilangan haiwan korban terhad kepada lima ekor sehari.

Peserta korban pula tertakluk kepada bilangan lembu yang disembelih iaitu tujuh peserta bagi setiap lembu dan hanya dilaksanakan hanya dalam tempoh empat hari. – MalaysiaGazette.