Sebahagian PATI Myanmar yang tersembunyi di kebunn getah di Sintok, Bukit Kayu Hitam cuba menceroboh masuk di sempadan negara dicekup tentera dalam Op Benteng awal pagi semalam. Ihsan Markas Divisyen kedua Infantri Malaysia ATM.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada warga Myanmar yang cuba menceroboh masuk melalui laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand gagal.

Kesemua suspek dicekup dalam dua tangkapan berasingan ketika menceroboh di dua lokasi berbeza di Bukit Kayu Hitam, Perlis dan juga Tanah Merah, Kelantan oleh anggota tentera yang mengawal sempadan menerusi Operasi Benteng.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan tengah malam tadi berkata, semasa kejadian Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) mengawal kawasan di Bukit Kayu Hitam manakala sempadanan di Tanah Merah, Kelantan dikawal Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Briged).

Sebahagian PATI Myanmar yang dikesan keluar dari semak di Kg Nibong Tanah Merah di sempadan Kelantan Thailand sebelum diberkas awal pagi semalam. Ihsan markas divisyen kedua Infantri Malaysia ATM.

“Dalam kejadian pertama di KTJ 8 Bgd semalam pada pukul 2.45 pagi, pasukan beroperasi di sempadan telah mengesan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan keluar dari semak menuju ke arah jalan raya di Kampung Nibong, Tanah Merah sebelum berjaya menahan kesemua individu tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya terdapat seramai sembilan orang PATI warga Myanmar yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah serta berumur di antara 17 hingga 35 tahun terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan,” kata 2 Divisyen dalam kenyataan tersebut.

Tambah markas berkenaan, dalam kejadian kedua di KTJ 6 Bgd, pada 24 Jun 2022 pukul 4.30 pagi pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan telah mengesan sekumpulan individu di kawasan semak di dalam kebun getah berhampiran jalan raya Changlun – Sintok.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya seramai 19 orang adalah PATI warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta berumur di antara 19 hingga 44 tahun terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita.

“Turut dirampas dalam kedua-dua kejadian sebanyak 18 buah telefon bimbit dan wang tunai dalam mata wang Malaysia, Myanmar dan Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 13,380.05.

“Kesemua PATI berkenaan diserahkan kepada Balai Polis Nibong dan Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut polis berlunaskan undang-undang negara yang ditetapkan.

“Pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara daripada dicerobohi dan tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan aktiviti jenayah rentas sempadan,” tegas markas lagi. – MalaysiaGazette