Temubual ekslusif SkopMG bersama Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Studio MG, Sungai Besi, Kuala Lumpur. . Foto MUHD NA'IM, 01 APRIL 2022.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Cadangan UMNO supaya kerajaan mewujudkan Lembaga Unggas Negara bagi menangani isu harga ayam secara menyeluruh dibidas Rafizi Ramli.

Pemenang tidak rasmi jawatan Timbalan Presiden PKR itu secara sinis berkata, cadangan yang dikemukakan UMNO  bersifat jenaka dan akan menyebabkan beban kewangan negara.

Ini kerana menurut beliau, badan yang akan ditubuhkan itu terpaksa membiayai elaun dan gaji ahli politik yang dilantik bagi menganggotai badan tersebut.

“Selepas ini apabila harga kambing pula naik, UMNO akan menubuhkan Lembaga Kambing Kebangsaan?

“Akhirnya, tindakan ini hanya menambah bebanan kewangan kepada rakyat yang terus menanggung gaji, elaun dan belanja ahli-ahli politik dari parti-parti mereka yang dilantik untuk menjadi bos-bos kepada lembaga ayam, lembaga kambing dan lain-lain,” sindir Rafizi.

Media semalam melaporkan, UMNO menggesa kerajaan segera menangani isu kenaikan harga barangan makanan asas rakyat termasuk ayam dengan mengambil pendekatan yang holistik, bersepadu dan berkesan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, untuk itu kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan mewujudkan Lembaga Unggas Negara bagi menangani isu harga ayam secara menyeluruh.

Cadangan tersebut dilontarkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn.

Sementara itu Rafizi mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memulakan langkah  melaksanakan dua perkara yang dianggap sebagai penting.

Langkah pertama, kerajaan perlu melaksanakan dasar stok penimbal yang telah teruji dan digunakan sejak krisis makanan dan kos sara hidup dekat 1970an.

Serentak itu Rafizi mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bekalan dan Kelangsungan Kebangsaan.

“Seperti fungsi National Commission on Supplies and Shortages di Amerika Syarikat ditubuhkan sebagai badan bebas yang bertanggungjawab membina stok penimbal bagi tujuan mengurangkan risiko kekurangan bekalan makanan dan kenaikan mendadak harga makanan.

“Suruhanjaya ini perlulah bertanggungjawab kepada Parlimen dan dipantau sekeras-kerasnya untuk mengelakkan peruntukan membina stok penimbal disalahgunakan oleh unsur-unsur rasuah,” katanya.

Langkah kedua melibatkan pelarasan dan penggabungan kementerian-kementerian dan agensi-agensi.

Ini bagi mengelakkan karenah birokrasi dan kelemahan pelaksanaan dasar berhubung kelangsungan makanan dan kos sara hidup.

Katanya, keseluruhan struktur kementerian dan agensi yang bertanggungjawab perlu dirombak.

“Sepatutnya, kuasa dan tanggungjawab yang menggubal, melaksana, menyelia dan menguatkuasa dasar dan undang-undang yang melibatkan keseluruhan rantaian bekalan makanan (dari huluan yang menghasilkan bekalan makanan kepada hiliran yang mengedar dan menetapkan harga makanan) dipusatkan di sebuah kementerian sahaja.

“Ini membolehkan perancangan menyeluruh bagi seluruh rantaian bekalan makanan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan apabila pertindihan-pertindihan kuasa (seperti yang berlaku sekarang) dihapuskan,” katanya.

Rafizi berhadap beliau dapat maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan dengan segera terhadap idea yang dilontarkannya itu.-MalaysiaGazette