Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya gaji Menteri Kabinet dipotong sebanyak 20 peratus oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz tidak akan menyelesaikan kenaikan kos sara hidup rakyat .

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekiranya mahu menangani kenaikan kos sara hidup, langkah itu memerlukan cadangan dan alternatif lain yang lebih efisien.

“Perkataan potong gaji ini seolah-olah berada dalam Dewan Rakyat, ia selalu diusulkan oleh pembangkang, bagi saya cadangan beliau bukan jalan penyelesaian untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kita tidak tahu apa maksud sebenar Rafidah mengenai potong gaji itu, adakah beliau benar-benar maksudkan atau hanya perli, beliau orang lama sepatutnya boleh beri idea yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat  Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tualak semalam.

Menurut Mahdzir lagi, kerajaan ketika ini sentiasa berusaha untuk membantu rakyat dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini.

“Sekarang ini ada pelbagai usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pasukan dalam Kabinet khususnya bagi menteri-menteri yang terbabit secara langsung dengan ekonomi dan harga barang seperti kementerian kewangan, ekonomi, perdagangan, pertanian dan kerja raya.

“Mereka ini akan duduk mesyuarat seminggu dua kali bagi membincangkan hal yang berbangkit dan memberi jalan penyelesaian seperti yang diumumkan Perdana Menteri mengenai tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam tidak akan diapungkan.

“Sehingga kini pun kerajaan masih memberi subsidi petrol RON95 kepada rakyat dengan harga RM2.05 seliter. Ini adalah antara langkah dan keputusan yang diambil kerajaan agar tidak membebankan rakyat,” katanya lagi.

Mahdzir mengulas mengenai kenyataan Rafidah yang mencadangkan pemotongan gaji menteri bagi membantu rakyat yang ketika ini bergelut dengan krisis ekonomi akibat Covid-19 dan krisis peperangan antara Rusia-Ukraine. – MalaysiaGazette