Mayat mangsa lemas dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.

BUTTERWORTH – Operasi pencarian seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di Jeti Nelayan Pantai Bersih di sini, berakhir selepas mayatnya ditemui hari ini.

Mayat, Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah, 11, ditemui nelayan pada jam 9.13 pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Seberang Perai Utara, Kapten (PA) Widiana Mohd Ani berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui tersangkut pada tali pukat nelayan tidak jauh dari persisiran pantai.

“Kita terima maklumat daripada nelayan berhubung penemuan mayat mangsa sebelum bergegas ke lokasi.

Operasi pencarian ditamatkan susulan penemuan mayat mangsa pada jam 9.13 pagi tadi.

“Jasad mangsa berada dalam keadaan sempurna tanpa sebarang kesan luka dan kita membawa mayat menggunakan bot ke jeti nelayan untuk diserahkan kepada pihak polis.

“Proses pengecaman dilakukan oleh keluarga mangsa sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Widiana, operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.45 pagi.

MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang  kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika bermandi di Jeti Nelayan Pantai Bersih di sini.

Muhammad Mikhaeil Muqmin.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah, 11, dikatakan sedang bermandi di kawasan pantai itu bersama tiga lagi rakannya sebelum dilaporkan lemas pada jam 5.30 petang.

Difahamkan, seorang pemancing yang berada di lokasi cuba menyelamatkan mangsa namun turut lemas sebelum dia diselamatkan orang awam. – MalaysiaGazette