Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu mahkamah bagaimana Tun Mahathir Mohamad supaya membubarkan UMNO kerana parti itu tidak lagi relevan di mata masyarakat Melayu selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, malah Dr. Mahathir juga memujuknya supaya melompat parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpinnya pada pertemuan Jun 2018 

“Kata Tun Mahathir ketika itu, UMNO sudah tidak ada masa depan, UMNO gagal di mata orang-orang Melayu, ini parti rasuah, penyamun, kotor, jijik. Saya ingat setiap kata-kata itu sehinggalah hari ini.

“Kemudian beliau meminta saya lupakan sahaja UMNO dan sertai PPBM (Bersatu). Saya menolak dan memberitahunya selagi hayat saya di kandung tanah, selagi itu saya akan setia dengan UMNO. Saya beritahunya saya tidak rela UMNO terkubur tanpa batu nisan.

“Malah saya memberitahu beliau jika saya berbuat demikian dan saya meninggal dunia, batu nisan saya akan banjir kerana bakal dikencing oleh ahli-ahli UMNO sehingga ianya banjir,” katanya.

Beliau menyatakan demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika pemeriksaan utama pada prosiding pembelaan kes rasuah dan penggubahan wang dana Yayasan Akalbudi, hari ini.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, Ahmad Zahid mendakwa, beliau juga menerima ugutan sesuatu akan berlaku ke atas dirinya jika enggan membubarkan UMNO dan tidak menyertai Bersatu.

Malah beliau juga diberitahu akan ada lebih ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN akan melompat parti.

“Selepas pertemuan saya dengan Tun Mahathir dan saya menolak pelawaan dan arahan beliau, saya telah dipanggil untuk siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar Julai.

“Pada sekitar September 2018, saya sekali lagi bersama empat lagi pemimpin utama UMNO iaitu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohammad Hassan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin untuk bertemu Tun Mahathir.

“Apa sahaja yang telah diberitahu kepada saya pada pertemuan Jun itu sekali lagi diulang kepada empat pemimpin ini, kita semua membuat keputusan untuk terus kekal menjadi pembangkang dan tidak sesekali bersetuju melompat mahupun membubarkan UMNO, saya telah didakwa kali pertama pada bulan Oktober 2018 di mahkamah,” ujarnya. – MalaysiaGazette