Peguam, Gobind Singh Deo hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Prosiding kes rasuah projek terowong dasar laut yang membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berlangsung dalam suasana tegang ketika sesi soal balas antara saksi dan peguam, Gobind Singh.

Bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Ibrahim Sahari di soal bertubi-tubi oleh Gobind yang mewakili Guan Eng bertanyakan sama ada perbuatan memalsukan akaun, invois dan baucer adalah kesalahan jenayah.

Ketika pemeriksaan singkat itu, ada kalanya Ibrahim seperti teragak-agak untuk menjawab dan berfikir sejenak sebelum memberi jawapan.

Gobind: Encik Ibrahim, adakah betul anda mempunyai Diploma Perakaunan di Institut Mara dan jawatan terakhir kamu di Maybank sebagai Head Compliance and Supervision International Division Maybank? Betul?

Saksi: Betul

Gobind: Setuju dengan saya, anda boleh dikatakan sebagai seseorang yang bertauliah dalam bidang perakaunan?

Saksi: Setuju

Gobind: Sebagai seseorang yang bertauliah, tentulah kamu tahu bahawa tindakan memalsukan dokumen adalah satu perkara yang salah?

Saksi: Betul

Gobind: Ini termasuklah memalsukan invois, baucer? Lebih-lebih lagi memalsukan akaun syarikat? Betul?

Saksi:Betul

Gobind: Walaupun tahu, kamu lakukan juga?

Saksi: Setuju

Gobind: Bukan setuju tetapi memang keterangan kamu hari ini, kamu tahu kan? Kamu tahu pemalsuan itu adalah satu kesalahan jenayah?

Saksi: Pada masa itu, saya tidak tahu.

Gobind: Aik, tidak tahu? Kamu tahu bukan?

Saksi: Ketika itu…

Gobind: Jawab sahaja ya atau tidak sahaja. Kamu tahu Azli (saksi terdahulu) juga buat. Kamu berdua ikut Datuk Zarul?

Saksi: Betul

Gobind: Datuk Zarul berikan kamu arahan untuk memalsukan akaun dan invois syarikat?

Saksi: Betul

Gobind: Keterangan kamu menyatakan bahawa Datuk Zarul rela dan sudi melakukan kesalahan?

Saksi: Hanya untuk…

Gobind: Jawab soalan saya, ya atau tidak sahaja.

Saksi: Tidak kesemuanya.

Gobind: Come on Encik Ibrahim. Soalan saya cukup jelas, kamu kata dalam keterangan tadi bahawa kamu diberikan arahan untuk palsukan invois dan akaun syarikat. Jadi, soalan saya, Datuk Zarul ini jenis yang rela dan sudi melakukan kesalahan kepentingan?

Saksi: Tidak semuanya.

Gobind: What’s your problem? (Apa masalah kamu ini).

Saksi: Er, saya tidak ada masalah.

Gobind: Bagus, keep it that way. Your evidence (keterangan) bahawa diri kamu seorang master fabricator. You, Azli and Datuk Zarul.

Saksi: Saya tidak faham. Apa itu master fabricator?

Gobind: Tidak faham? Kamu adalah champion fabricator?

Saksi: Ya

Gobind: Kamu adalah jenis ikut arahan untuk buat kesalahan. Penyagak. Manipulator. Kamu penipu.

Baru sebentar tadi kamu kata kamu sanggup buat untuk kepentingan syarikat, jadi adakah kamu rela menipu mahkamah?

Saksi: Tidak tuan.

Gobind: Untuk elak pertuduhan, kamu rela mereka-mereka keterangan, setuju?

Saksi: Tidak Setuju tuan.

Gobind: Tapi dalam keterangan kamu, kamu mengaku atas arahan dan demi kepentingan kamu dan syarikat kamu sanggup palsukan invois dan akaun palsu.

Gobind: Pernah jumpa Datuk Seri G?

Saksi: Pernah

Gobind: Dia terima wang susulan, wang hasil pemalsuan invois dan akaun syarikat. Setuju?

Saksi: Saya tidak pasti.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 JUN 2022

Prosiding kemudian ditangguhkan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi dan akan bersambung pada 25 hingga 27 Julai depan.

Terdahulu ketika membacakan keterangan, Ibrahim mengaku beliau bersama-sama bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat CZBUCG, Azli Adam telah memalsukan invois dan baucar untuk pembayaran atas arahan Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Invois dan baucer itu dipercayai digunakan untuk merasuah Guan Eng.

Selain itu, Ibrahim juga berkata, beliau tidak tahu bagaimana Zarul merasuah Guan Eng atau nilai sogokan yang diberikan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Pada Januari 2018, Datuk Zarul buat pengakuan kepada SPRM dan saya bahawa beliau telah membuat pembayaran rasuah kepada Lim Guan Eng. Walaubagaimanapun Datuk Zarul tidak beritahu kepada saya jumlah mahupun cara pembayaran rasuah itu dibuat,” katanya ketika membaca keterangan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berdepan dengan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul dilantik melaksanakan projek itu. -MalaysiaGazette