Temubual bersama pengguna, Linggam Subramaniam, 68 mengenai kerajaan tidak menaikkan kadar tarif elektrik di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – “Terima kasih Perdana Menteri, anda prihatin terhadap kebajikan rakyat!,”.

Itu luahan kebanyakan orang ramai selepas kerajaan mengumum tidak menaikkan kadar tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai sehingga hujung tahun ini.

Sehubungan itu, pengguna domestik kategori kediaman serta pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri tidak akan mengalami kenaikan bil elektrik melalui pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).

Pesara swasta, Linggam Subramiam, 68, menzahirkan penghargaan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas kerajaan mendengar keluhan rakyat yang semakin terbeban.

“Dengan tulus ikhlas dan suci saya katakan, kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail memang mendengar suara rakyat. Terima kasih PM sebab prihatin dengan Keluarga Malaysia,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Abu Bakar Karimullail

Pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Abu Bakar Karimullail, 57, pula melihat tindakan kerajaan mengekalkan kadar tarif itu tidak memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa panjang.

No point, kenapa nak dikekalkan untuk sementara lepas itu mahu naikkan pula. Kalau dapat kekalkan, biar kekalkan terus untuk rakyat. Kerajaan mesti fikirkan sesuatu yang terbaik untuk rakyat supaya bil elektrik tak naik lagi,” katanya.

Jelasnya, tiada pilihan lain yang boleh dibuat oleh rakyat walaupun kadar tarif dinaikkan memandangkan ia satu keperluan asas.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, pengguna bukan domestik lebih terkesan jika kerajaan tetap melaksanakan kadar tarif elektrik berkenaan.

“Macam kita sebagai pengguna domestik, mungkin masih boleh tampung lagi. Tapi kalau yang menjalankan perniagaan, itu lebih dahsyat. Gaji minimum perlu naik sehingga RM1,500, bil elektrik pun naik kena bayar. Mereka sebenarnya lebih terbeban,” ujanya.

Farid Idris

Penjawat awam, Farid Idris, 38, mengakui kos sara hidup yang semakin meningkat akan membebankan rakyat jika pelaksanaan berkenaan diteruskan.

“Terima kasih PM tidak menaikkan tarif elektrik, jika dinaikkan sudah tentu bagi tekanan untuk rakyat. Kalau semua benda kos naik, macam mana kita sebagai rakyat nak hidup,” ujarnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Tenaga memaklumkan pelaksanaan mekanisme ICPT itu membolehkan pemberian rebat 2 sen/kWj dikekalkan serta tiada surcaj dikenakan untuk pengguna domestik.

Manakala surcaj 3.70 sen/kWj untuk pengguna bukan domestik dikekalkan. – MalaysiaGazette