Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri.- Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Semua Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan tujuh inisiatif bagi memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat senario global.

Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri dan menteri berkaitan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah.

Jawatankuasa tersebut bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dilakukan secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Insiatif pertama antara lain Kerajaan Negeri bersetuju untuk meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian melalui tiga cara.

Langkah pertama dengan mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan kemudiannya memajakkan tanah rizab tersebut di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 sehingga 21 tahun.

Langkah kedua memperkasakan pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat Kerajaan Negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.

Langkah ketiga pihak berkuasa negeri boleh dan tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

Enam inisiatif lain termasuk mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi, pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM yang terbengkalai serta yang belum dimajukan.

Mengekalkan pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan.

“Menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain.

“Menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Kerajaan Negeri juga boleh menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan dengan perincian lanjut akan diberikan oleh Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette