Sharifah Zakiah (tengah) bersama pekebun selepas selesai menyampaikan taklimat berhubung kesalahan pembakaran terbuka di Relau, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN –  Pekebun dan peladang di negeri ini berdepan tindakan kompuan sekiranya gagal memastikan kawalan keselamatan terhadap tanah tanaman masing-masing daripada pembakaran terbuka.

Peringatan itu dibuat Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab susulan aduan pembakaran terbuka di kebun meningkat saban hari.

Jelas beliau, kompaun tersebut bukan bagi menghukum pemilik kebun serta ladang namun bagi memastikan pembakaran terbuka dapat dikawal sekali gus elak daripada ia berlaku.

“Pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 29A (2) atau 29B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.Ia memperuntukkan kompaun sehingga RM2,000 bagi setiap kesalahan, denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Hanya aktiviti yang diisytiharkan sahaja dibenarkan malah pemilik kebun serta ladang harus mematuhi Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2003.

“Pembakaran terbuka memberi pelbagai kesan bukan saja kepada pemilik malah orang awam tambahan pula jika ia tidak dapat dikawal,” katanya hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan taklimat kepada 120 pekebun dan peladang negeri ini berhubung tentang perundangan yang berkaitan dengan pembakaran terbuka serta pengurusan bekas-bekas racun.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Pulau Pinang serta wakil daripada RISDA, FAMA dan Polis Diraja Malaysia.

Pengujian asap kenderaan, pameran alam sekitar dan kaunter pengumpulan e-waste turut dibuka kepada pengunjung yang hadir. – MalaysiaGazette