KUALA LUMPUR – MIDF Research percaya kenaikan harga jualan akan terus disokong oleh tekanan daripada bahagian penawaran selain daripada permintaan yang semakin meningkat.

Ia berkata, perniagaan mungkin menyalurkan lebih banyak peningkatan kos kepada pengguna mereka dengan inflasi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) kekal melepasi inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP).

IHPR Malaysia untuk pengeluaran tempatan yang mengukur kos barangan di pintu masuk kilang, kekal tinggi pada bulan Mei dengan pertumbuhan sebanyak 11.2 peratus tahun ke tahun berbanding 11.0 peratus tahun ke tahun pada April 2022.

Sementara itu, IHP meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun kepada 126.6 pada Mei 2022 daripada 123.1 pada Mei 2021.

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun kadar inflasi IHPR bagi industri pertanian, perhutanan dan perikanan perlahan kepada +16.7 peratus tahun ke tahun, kenaikan dua angka itu menyerlahkan tekanan menaik yang berterusan terutamanya bagi harga makanan.

“Faktor-faktor seperti peningkatan kos import, kekurangan tenaga buruh dan harga komoditi yang tinggi menambahkan tekanan inflasi yang dialami oleh pengeluar tempatan selain kekangan bekalan lain dan gangguan dalam rantaian bekalan global,” katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, mengenai indeks keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) pula,  ia menjangkakan sentimen jangka pendek dan aktiviti perbelanjaan akan terus dipengaruhi oleh inflasi yang tinggi serta peningkatan kos pinjaman dengan Rizab Persekutuan AS akan terus mengetatkan dasar monetarinya.

Indeks keyakinan pengguna AS merosot untuk bulan kedua kepada 98.7 pada Jun, 2022 daripada 103.2 pada Mei 2022, paras terendah dalam 16 bulan. – BERNAMA