Gambar hiasan

ESOK akan bermula pemansuhan subsidi minyak masak tulen dalam botol satu hingga lima kilogram (kg).

Minyak masak di dalam botol bersaiz 1kg dijangka akan naik pada harga RM6.70, 2kg (RM12.70), 3kg (RM18.70) dan 3kg pada harga RM29.70.

Kenaikan harga minyak masak dalam botol sudah tentu menyebabkan minyak masak bersubsidi yang dipek dalam polibeg seberat satu kilogram berharga RM2.50 menjadi tumpuan sepenuhnya.

Kerajaan memperuntukkan kira-kira 60,000 tan metrik setiap bulan bagi minyak masak bersubsidi dalam paket tersebut dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM500 juta yang diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion pada 2021.

Kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diseleweng dan diseludup oleh pihak industri dan komersial.- Gambar hiasan.

Namun cukupkah minyak masak bersubsidi dalam polibeg tersebut untuk rakyat yang memerlukan berikutan pemansuhan subsidi minyak masak dalam botol?

Minyak dalam paket akan jadi rebutan peniaga

Persatuan pengguna melahirkan kebimbangan minyak masak bersubsidi dalam polibeg akan menjadi sasaran terutama kumpulan peniaga yang mahu memastikan kos mereka tidak meningkat.

Peniaga sudah tentu akan mencari pelbagai jalan memastikan mereka boleh membeli minyak bersubsidi tersebut dalam kuantiti yang banyak walaupun terdapat kedai yang mengehadkan jualan dua atau tiga paket kepada setiap pelanggan.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kumpulan peniaga yang digelarkan sebagai ‘masyarakat Vellfire’ mempunyai pelbagai cara bagi memastikan mereka dapat membeli minyak bersubsidi tersebut sebanyak mungkin.

Jacob George

Katanya, disebabkan tidak ada penguatkuasaan yang ketat maka rakyat yang sepatutnya mendapat manfaat daripada minyak bersubsidi tersebut terpaksa bersaing dengan kumpulan peniaga.

“Pada masa ini tidak ada. Ok awak boleh ambil tiga, empat paket lebih tidak boleh. Tapi satu keluarga lima orang datang dia ambil 20 paket.

“Kita hendak suruh pihak supermarket, kedai jadi polis (kawal) dia tak akan jadi polis. Itu kerja kerajaan. Sebelum kita melaksanakan adakah kita telah membuat persiapan? Di sini saya takut.

“Tujuan kita nak bantu golongan sasaran tetapi golongan Vellfire yang akan beli barangan itu. Kita kena elak ini,” kata Jacob.

Dr N Marimuthu

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr N Marimuthu turut menjangkakan pengguna terpaksa bersaing dengan peniaga bagi mendapatkan minyak masak bersubsidi dalam paket.

Namun menurut Marimuthu, beliau tidak menyalahkan kumpulan peniaga yang mencari pelbagai cara untuk membeli minyak bersubsidi.

“Yang lain akan merebut untuk mendapatkannya. Kita tak boleh anak tirikan rakyat kita sama ada B40, M40 atau apa sahaja. Sebab mereka rakyat. Rakyat adalah pembayar cukai. Kena bagi mereka sama rata,” katanya.

Bimbang penguatkuasa tidak jalankan tugas

Perkara yang membimbangkan bagi Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam adalah apabila rakyat yang benar-benar memerlukan minyak bersubsidi terpaksa bersaing dengan golongan peniaga bagi mendapatkan bahan tersebut.

Sebab itu menurut Jacob, pihak berkuasa perlu benar-benar bersedia untuk membuat pemantuan bagi memastikan tidak ada ketirisan sebelum memansuhkan mana-mana subsidi.

“Dari segi memantau kita ada kekurangan, ketirisan dan sebaganya. Kita kena ada penguatkuasaan yang ketat. Pada masa ini tidak ada.

“Sebab kita nak mempercepatkan respons kita (terhadap isu). Tak ambil kira mekanisme yang akan digunakan untuk memastikan tidak ada orang menyalahgunaakan. Pada masa ini mekanisme itu langung tidak ada.

“Tidak ada mana-mana agensi kerajaan yang pada masa ini memantau keadaan ini. Langsung tidak ada mekanisme yang memastikan hanya golongan sasar sahaja yang dapat,” katanya kesal.

Subsidi minyak masak tulen berbotol bagi 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg dimansuhkan berkuatkuasa 1 Julai ini. – Gambar hiasan.

Jacob menegaskan, sekiranya kerajaan telah membuat keputusan untuk mengehadkan pemberian subsidi sepatutnya mereka juga perlu mempunyai pasukan penguatkuasa yang akan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak mendapatkannya.

“Kita mestilah tahu demografi yang memerlukan minyak masak dalam polibeg. Golongan ini sahaja boleh membeli. Macam di India, Sri Langka dan Thailand mereka bawa kad di mana satu keluarga sasaran sudah beli, golongan kedua dari rumah sama tidak boleh membeli. Kerajaan pantau,” katanya.

Justeru, kata Jacob pihak tersebut perlu turun padang dan memastikan hanya kumpulan sasar sahaja yang mendapat minyak bersubsidi.

Kesan rantaian penghapusan subsidi minyak

Minyak masak adalah bahan yang amat penting dalam masakan di Malaysia. Malah hampir setiap isi rumah menggunakan minyak masak tersebut.

Pemansuhan subsidi minyak masak akan mendatangkan kesan berantai terhadap barangan lain terutama yang melibatkan peniagaan makanan.

Sekali lagi Marimuthu tidak menyalahkan peniaga sekiranya mereka terpaksa menaikkan harga jualan makanan.

“Bila subsidi ini dimansuhkan apa yang akan berlaku harga barangan akan melambung. Sebab minyak masak digunakan oleh setiap keluarga. Setiap makanan. Jadi kerajaan harus faham jangan buat tindakan yang tidak ada tepat.

“Ini bukan salah rakyat. Ini adalah salah kerajaan kerana tidak ada rancangan jangka masa panjang. Kita pilih mereka untuk jaga kebajikan kita bukan menyusahkan kita.

“Dengan ini reaksi jaringan harga barangan yang diproses seperti mi goreng, nasi lemak, roti canai dan tosei akan naik. Makanan yang diproses harganya tidak dikawal oleh kerajaan,” jelasnya.

Serentak itu Marimuthu mencadangkan supaya kerajaan menanguhkan dahulu projek-projek mewah dalam tempoh setahun dua dan menyalurkan wang tersebut sebagai subsidi kepada rakyat yang terkesan dengan kadar inflasi yang tinggi ketika ini.

“Jangan mansuhkan subsidi. Tunda projek mewah untuk satu tahun beri kestabilan. Baru dua tahun kita ada Covid-19. Rakyat sudah susah, tak ada pekerjaan.

“Kita tak tahu (berapa banyak) keluarga Malaysia yang makan sekali atau dua kali sahaja sehari.  Sebab semua orang termasuk peniaga yang buat mi goreng yang masak kuih muih gerai, akan cari minyak subsidi.

“Alasan peniaga naikkan harga tak boleh buat apa. Sebab minyak keperluan asas. Anda kena pastikan rakyat Malaysia ada minyak masak. Itu sahaja,” katanya.

Mungkinkah harga makanan akan naik lagi esok? Berdebar menunggu 1 Julai. -MalaysiaGazette