Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menafikan beliau terlibat dalam gerakan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani akuan sumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,.

“Saya tak pernah tanda tangan apa-apa SD sokong Anwar Ibrahim, tak pernah. Apa yang disabitkan beberapa belas orang tandatangan itu, saya tak terlibat. Jadi, saya nak komen pun tak boleh.

“Cuma yang saya faham bukan sahaja Tajuddin mengesahkan, Datuk Seri Nazri Aziz (Padang Rengas) juga mengesahkan dan mereka orang yang terlibat dan lebih berwibawa daripada saya untuk menyatakan ya atau tidak SD itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Auditorium Perdana, Angkasapuri hari ini.

Menurut Annuar, Anwar yang juga Presiden PKR juga turut mengesahkannya termasuk beberapa lagi pemimpin parti berkenaan.

Mengenai dakwaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO kononnya mempunyai bukti Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan pernah membuat gesaan supaya presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan,  Annuar juga  tidak terlibat.

“Sebab waktu itu saya adalah Setiausaha Agung UMNO dan banyak mesyuarat yang diadakan pada penglihatannya tidak ada penjawat parti pun ketika itu.

“Sekali lagi saya tak dapat nak mengatakan atau nak komen sesuatu yang saya tak terlibat,” tegasnya.

Justeru beliau meminta semua pihak dalam parti itu mengurangkan kegawatan politik bagi mengharmonikan keadaan.

Beliau berkata, kalau masing-masing serang-menyerang antara satu sama lain, kegawatan politik tidak ada reda sebaliknya memburukkan lagi situasi.

“Saya fikir sekarang ini elok kurangkan kegawatan politik dan beri peluang kepada pucuk pimpinan untuk mencari jalan bagaimana hendak mengharmonikan keadaan yang agak bercelaru ini.

“Saya rasa, mungkin ada baiknya kita tumpu kepada solidariti dan tumpu perkhidmatan kepada orang ramai serta rakyat.

“Kerana kalau kita terus menerus gawat dengan isu sedemikian, yang saya faham tak dapat dielakkan kerana setiap orang ada hak masing-masing untuk menyatakan pandangan mereka – keadaan ini tidak akan berkesudahan malah lebih teruk,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, tanggungjawab pemimpin ialah mengharmonikan keadaan dan tumpu kepada usaha untuk memperkasakan parti.

Justeru, beliau mencadangkan supayaada pihak tertentu yang mengambil tindakan untuk menguruskan hal itu secara dalaman. – MalaysiaGazette