Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperluas Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com kepada kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta sebelum hujung tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya perlu melihat satu kaedah terbaik bagi pembiayaan untuk pihak terbabit.

Katanya, beliau berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri yang bersetuju program tersebut diperluas kepada sektor swasta.

“Penjawat awam tiada masalah kerana apabila kita keluarkan pendahuluan, kita masih boleh kutip balik melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

“Untuk swasta, kita perlu melihat satu kaedah terbaik. Kita beri jaminan (program) ini akan dilakukan berperingkat, mula dengan GLC yang maju seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Telekom dan sebagainya. Kita akan bincang dengan semua GLC sedia ada untuk capai situasi saling menguntungkan.

“Kita perlukan masa, kalau semua berjalan lancar mungkin sebelum penghujung tahun boleh perluaskan kepada GLC dan swasta,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program myezycover.com yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.

Program berkenaan, adalah hasil rangka kerjasama strategik pihak awam dan swasta diusahakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Angkasa dan A Tech Insure Sdn. Bhd.

Terdahulu dalam ucapannya, Saravanan berkata, skim itu diwujudkan selepas kajian Kementerian Sumber Manusia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapati golongan B40 dan M40 berhadapan kekangan kewangan.

“Kementerian kaji kedudukan kewangan penjawat awam, kita kenal pasti dua isu penting B40 dan M40 iaitu pertama, mereka tidak mempunyai simpanan dan keduanya, tiada jaringan keselamatan.

“Lebih 50 peratus tiada simpanan untuk memperbaharui lesen dan cukai jalan hingga berbulan-bulan, ada yang terpaksa pinjam ah long (ceti haram) selain bergantung kad kredit yang menambah beban kewangan mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette