Ayob (kiri) bersama Nash (dua dari kanan) di pusat pengumpulan barangan banjir di Sungai Buloh baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) dengan kerjasama Persatuan Reformis Ulung, Persatuan Megah Muafakat dan Stesen Radio Bapakku FM serta syarikat rakaman mengambil inisiatif menggerakkan misi bantuan banjir.

Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid berkata, mereka kini sedang menguruskan pusat pengumpulan barang-barang untuk membantu mangsa banjir.

“Misi ini bertujuan untuk membantu mangsa banjir yang terkesan dengan menyediakan keperluan harian yang amat diperlukan.

“Masyarakat sekitar Kuala Lumpur khususnya serta rakyat Malaysia amnya diberi peluang untuk menyumbangkan barangan keperluan dan membantu meringankan beban mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan.

Beberapa lokasi pengumpulan barangan telah dikenal pasti iaitu Kafe Narateawhat Sungai Buloh, Bukit Indah Ampang, Shah Alam, Bangi serta di Pejabat Radio Bapakku FM di Gombak.

Menurut Ayob, misi bantuan banjir mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak terutama makanan, peralatan pembersihan rumah, water jet, peralatan kebersihan diri dan sebagainya.

Keperluan seperti kain batik, kain pelikat, telekung, pakaian dalam, tuala Wanita, selimut, toto, tikar, air mineral dan lampin pakai buang juga diperlukan.

“Jika anda di luar sana ingin membantu bolehlah menghubungi nombor 019-368 2548 atau WhatsApp 014-812 9763,” kata Ayob.

Barisan artis yang menyatakan persetujuan untuk terbabit dalam misi yang sama ialah Datuk Nash.

Nash mengaku rasa sedih dan terpanggil untuk membantu apabila lihat paparan-paparan video kesukaran, kesusahan dan penderitaan mangsa banjir menerusi pelbagai medium.

“Ada yang sudah berusaha pelbagai cara untuk mengelak menjadi mangsa antaranya meninggikan tapak rumah dan memastikan haiwan dalam keadaan selamat tapi kehendak Allah tidak boleh dilawan.

“Jadi saya menyeru kepada semua penggiat seni agar bersatu hati membantu mereka yang terkesan. Inilah tanda solidariti golongan artis kepada masyarakat. Insya-Allah kebaikan kita akan mendapat ganjaran Allah nanti,” kata bekas penyanyi kumpulan Lefthanded itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast