BUKIT MERTAJAM – Polis membuka siasatan terhadap seorang remaja berusia 14 tahun yang memandu sebuah kereta sebelum melanggar dua kenderaan dalam kejadian di Taman Chai Leng, Perai di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 4.50 petang dan membabitkan tiga kereta di dua lokasi berasingan.
“Kereta yang dipandu remaja terbabit dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 sebelum melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.
“Pemandu kemudian meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus di Lebuh Kurau 5 dan melanggar sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan yang betul,” katanya dalam kenyataan.
Nik Aminuddin berkata, kemalangan itu menyebabkan kerosakan pada ketiga-tiga kereta, namun tiada kecederaan dilaporkan membabitkan mana-mana pihak.
ARTIKEL BERKAITAN:
Tular video remaja bawah umur pandu kereta di Taman Chai Leng
“Siasatan masih dijalankan. Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya memantau aktiviti anak-anak dan tidak membenarkan mereka yang masih di bawah umur untuk memandu kenderaan.
“Tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan pemandu serta pengguna jalan raya yang lain.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya. – MalaysiaGazette
















