Lim Kong Hock (kanan) menunjukkan runtuhan tebing setinggi hampir 10 meter yang berlaku bersebelahan Blok H dan Blok G Pangsapuri Bukit Piatu, Melaka sehingga merisikokan nyawa lebih 250 penduduk termasuk penduduk Taman Setia Jaya, susulan runtuhan cerun berlaku pada 6.30 petang 23 Jun lalu.

MELAKA – Lebih 250 penduduk di dua kawasan perumahan iaitu Pangsapuri Bukit Piatu dan Taman Setia Jaya, terpaksa tinggal dalam ketakutan saban hari sejak 10 hari lalu susulan tembok tanah runtuh yang berlaku bersebelahan kediaman mereka.

Kejadian pada kira-kira 6.30 petang 23 Jun lalu mengakibatkan tembok konkrit di cerun setinggi hampir 10 meter terbabit runtuh bersama tanah merah dan beberapa bongkah batu besar sehingga merosakkan sebahagian pagar tembok sebuah rumah penduduk.

Keadaan itu turut menyebabkan penduduk rumah di Jalan SJ 1, Taman Setia Jaya, Bukit Piatu itu diarah pindah sementara kerana runtuhan yang telah terkena sebahagian struktur rumah teres berkenaan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, selain penduduk berkenaan, kira-kira 230 lagi penduduk di Blok H dan G Pangsapuri Bukit Piatu berusia 54 tahun yang berada tepi cerun bukit itu juga berisiko tumbang sekiranya kerosakan tebing tidak segera dibaiki.

Kesan untuhan tebing setinggi hampir 10 meter yang berlaku bersebelahan Blok H dan Blok G Pangsapuri Bukit Piatu, Melaka sehingga merisikokan nyawa lebih 250 penduduk termasuk penduduk Taman Setia Jaya, susulan runtuhan cerun berlaku pada 6.30 petang 23 Jun lalu.

Pengerusi penduduk pangsapuri tiga tingkat itu, Lim Kong Hock, 63, berkata, penduduk kini dalam ketakutan walaupun langkah pencegahan awal telah diambil dengan meletakkan kanvas di tebing cerun setinggi hampir 10 meter itu bagi mengelakkan runtuhan lebih serius.

“Penduduk di Blok G dan H terutamanya paling takut kerana runtuhan berlaku betul-betul bersebelahan blok sampaikan tak lena tidur malam setiap kali berlaku hujan lebat.

“Runtuhan tebing setinggi hampir 10 meter ini juga telah merosakkan tembok sebuah rumah penduduk di bawah iaitu di Jalan SJ 1, Taman Setia Jaya dan merisikokan puluhan penduduk lagi.

“Jadi kami harap wakil rakyat, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa percepatkanlah usaha membaiki tebing ini kerana sudah 10 hari kejadian berlaku sejak 23 Jun lalu dan hanya kanvas ini dilihat menjadi ‘pelindung nyawa’ kami,” katanya ketika ditemui di sini petang semalam.

Lim Kong Hock

Menurut Kong Hock, masalah itu adalah kali pertama berlaku sejak pangsapuri itu siap pada 1968, selain taman perumahan di bawahnya yang sudah berusia kira-kira 20 tahun tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu.

“Sekarang ini, jika dilihat sebahagian struktur tembok penahan konkrit tebing ini juga sudah senget dan hanya menanti rebah kerana sebahagian lagi sudah pecah dihempam bongkah batu dari tanah runtuh.

“Kita takut, jika langkah pembaikan cerun tidak segera diambil, ia mungkin boleh mengakibatkan kemalangan jiwa,” katanya.

Mohd Ridhwan Mohd Ali

Sementara itu, permasalahan itu turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Bukit Katil, Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang melakukan tinjauan di kawasan runtuhan.

Menurutnya, siasatan terperinci telah dilakukan beberapa pihak termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang sudah mengambil langkah segera membaiki tembok konkrit berkenaan.

“Saya difahamkan, mereka kini sedang bekerjasama dengan syarikat perunding untuk membuat satu rekaan terbaik membaiki runtuhan tebing ini.

“Malah pada hari kejadian 12 Jun lalu, pihak JKR juga sudah periksa keselamatan flat berkenan dan hasil semakan terperinci mendapati tiada sebarang kerosakan struktur bangunan sebab itu tiada penduduk flat diarah berpindah.

“Cuma sebuah rumah di bawah ini (Taman Setia Jaya) terjejas dan agensi terbabit sudah nasihatkannya berpindah sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan tebing segera dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast