KUALA LUMPUR – Dendam lama punca rusuhan bersenjata yang berlaku pada Jumaat lalu sehingga mengakibatkan seorang lelaki cedera parah akibat ditetak.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, berdasarkan laporan isteri mangsa, kejadian berlaku jam 9.30 malam apabila suaminya berusia 33 tahun ditetak oleh empat orang lelaki di Sungai Way.

“Mangsa telah ditemui oleh pengadu dalam keadaan mengalami kecederaan parah pada bahagian belakang badan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, ekoran kejadian berkenaan polis menahan tiga orang lelaki juga warganegara tempatan berumur di antara 21 hingga 37 tahun secara berasingan.

“Bertindak atas maklumat, hari ini jam 12.30 tengah malam sehingga 2 pagi pasukan polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun di kawasan Sungai Way dan dua lelaki warga tempatan 21 hingga 36 tahun di perkarangan Pusat Perubatan di Kuala Lumpur untuk membantu siasatan,” jelasnya.

Katanya, hasil siasatan mendapati dua daripada suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama empat hari.

Mohamad Fakhrudin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette