LONDON – Masa depan penyerang berbisa, Mohamed Salah yang menjadi teka teki sejak berbulan lalu membabitkan status kontraknya bersama Liverpool kini sudah mendapat jawapannya.
Pemain antarabangsa Mesir itu akhirnya telah menandatangani kontrak baharu bersama Liverpool untuk kekal di Anfield sehingga tahun 2025.
BBC Sports difahamkan bahawa pemain berusia 30 tahun itu telah menandatangani kontrak bertempoh tiga tahun bersama the Kops untuk terus menabur bakti kepada kelab Liga Perdana Inggeris itu selepas ini.
Persetujuan kontrak baharu itu sekali gus menyaksikan Salah akan menerima gaji lumayan lebih £350,000 hingga £400,000 seminggu dan juga pemain bergaji termahal dalam sejarah Anfield kali ini.
Sebelum ini salah yang berbaki kontrak setahun lagi menjadi topik perbualan penyokong serta pengulas sukan di serata dunia khususnya Eropah selepas dia tidak berunding mengenai penyambungan kontrak bersama Liverpool dan dikatakan menuntut gaji yang setimpal dengan sumbangannya terhadap kelab itu.
“Ini merupakan keputusan terbaik untuk kami (Liverpool dan juga dia (Salah).. ini (Liverpool) adalah kelab dia dan sudah pasti dia gembira menyambung kontrak baharu untuk kekal di England.
“Tindakan Salah menyambung kontrak bersama kelab adalah satu berita manis untuk para penyokong kelab kami malam ini dan saya sudah tentu mereka meraikan berita gembira ini,” kata Pengurus kelab berkenaan, Jurgen Klopp.
Salah telah menjaringkan 156 gol dalam 254 penampilan sepanjang lima musim di Anfield sejak berhijrah dari AS Roma.
Salah turut menyatakan keterujaannya untuk menang piala dan gelaran bersama kelab kini dan selamanya.
Selain memenangi piala juara Eropah, Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga, Piala dunia kelab FIFA dan Piala Super Uefa, Salah turut menang tiga kasut emas EPL dan dinamakan pemain terbaik Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak sebanyak dua tahun di bawah bimbingan Klopp.
Pembaharuan kontrak oleh Salah telah memberi nafas baharu untuk Liverpool yang menyaksikan pemain penting kelab itu Sadio Mane meninggalkan Anfield dan menyertai kelab Bundesliga Jerman Bayern Munich. – BBC