Penduduk Pangsapuri Petaling Perdana memasang bendera putih di hadapan rumah mereka bagi membolehkan orang awam tampil menyalurkan bantuan susulan berdepan dengan kesusahan kesan pandemik Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2021.

WALAUPUN penduduk Malaysia secara keseluruhannya telah mula menerima hakikat yang mereka perlu hidup bersama Covid-19, keadaan masih lagi tegang dengan pelbagai isu terutamanya berkaitan inflasi yang telah menyebabkan kenaikan harga barang yang semakin tidak terkawal. Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi adalah salah satu usaha
kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini. Terdapat juga saranan supaya kerajaan mengkaji kaedah subsidi bersasar seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara maju untuk mengurangkan beban rakyat dimana tumpuan harus diberi kepada golongan berpendapatan rendah berdasarkan pengkelasan pendapatan.

Di Malaysia, terdapat tiga kategori utama dalam pengkelasan pendapatan yang dirangka kerajaan iaitu B40, M40, dan T20. Banyak bantuan kerajaan diberikan kepada golongan B40 dan M40 berbanding golongan T20 memandangkan golongan ketiga ini berpendapatan tinggi dan dianggap sepatutnya lebih mampu berdikari dalam merancang kewangan. Contoh yang jelas dapat dilihat menerusi Bajet 2022 apabila Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diperuntukkan lebih tinggi berbanding Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini bagi membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Dari sudut ekonomi, kaedah pengkelasan pendapatan ini adalah baik kerana dapat membantu kerajaan merangka strategi dan menyalurkan bantuan secara tepat pada golongan yang memerlukan. Namun begitu, pengkelasan pendapatan kepada tiga golongan utama ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada hubungan sosial dimana ada antara individu yang masih tidak faham dan mengambil kesempatan dengan mengeruhkan keadaan. Sebelum wujudnya pengkelasan pendapatan, hubungan sosial yang sedia ada telah pun keruh akibat perbezaan kaum, agama dan fahaman politik.

Ketiga-tiga golongan ini kadangkala bercanggah pendapat berkaitan hak dan bantuan yang patut diperolehi sehingga ada yang sanggup mengeluarkan kata-kata menghina kepada golongan yang lain tanpa memikirkan kesan dan akibatnya kepada keharmonian yang telah wujud. Golongan B40 dihina kerana dikatakan terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan dan kurang berusaha. Golongan M40 dianggap sebagai golongan yang cuba mengambil kesempatan kerana tanpa segan silu turut menuntut bantuan kerajaan seperti B40. Golongan T20 pula dituduh mengambil hak B40 apabila menggunakan produk subsidi kerajaan.

Percanggahan pendapat antara tiga golongan ini dapat jelas dilihat di media sosial sehingga wujudnya kumpulan media sosial tertentu yang ditubuhkan bagi membicarakan kehidupan B40, M40 dan T20. Ada hantaran media yang dijadikan bahan bagi menghiburkan pembaca, namun ada juga hantaran dan komentar yang turut menghina golongan tertentu. Keadaan bertambah keruh apabila terdapat pandangan yang diberikan pemimpin tertentu terhadap golongan tersebut tanpa disokong bukti yang jelas.

Jika keadaaan ini dibiarkan berterusan, pasti ianya akan mencetuskan ketegangan dalam hubungan sosial yang telah sedia wujud. Konflik yang telah wujud sejak sekian lama kerana perbezaan kaum antara Melayu, Cina dan India masih belum lagi mampu diselesaikan sepenuhnya sehingga hari ini. Jangan pula ditambah dengan satu lagi masalah hubungan sosial yang boleh membejatkan keadaan hanya kerana pengklasifikasian B40, M40, dan T20.

Sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa juga status kaum, agama atau di golongan pengkelasan pendapatan, kita harus sama-sama membantu antara satu sama lain demi kelangsungan hidup. Kita semua masih mempunyai kerakyatan yang sama dan berpijak di bumi yang sama. Tanpa kesatuan dan sifat belas kasihan sesama manusia, pasti yang zalim akan lebih berkuasa dan yang lemah akan terus tertindas. Kekusutan ekonomi dan sosial yang sedia ada bukan saja tidak dapat dipulihkan, malah akan bertambah teruk.

Oleh:
Dr. Zuraini Ab Hamid
Penulis ialah Pensyarah Undang-undang, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)