Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil beramah mesra bersama penduduk sekitar flat Lembah Pantai pada Program Jualan Amal Prihatin Rakyat Mydin di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa Bukit Angkasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memberi penjelasan berhubung rancangan jangka masa sederhana bagi program subsidi dan mekanisme pemberiannya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, kedua-dua perkara ini perlu diterangkan supaya rakyat dapat mengetahui hala tuju kesan ekonomi mereka.

“Walaupun telah disebut akan kekal sampai hujung tahun, tapi sama ada akan ada kesan yang lain atau tidak?

“Kedua, mekanisme pemberian subsidi sekarang kita dengar bagaimana bantuan diberikan melalui Bantuan Keluarga Malaysia tapi sama ada ada bantuan-bantuan lain itu kita perlu teliti,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir Jualan Amal Prihatin Rakyat Mydin di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa, Taman Bukit Angkasa.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, tampil dengan langkah-langkah yang proaktif supaya kenaikan harga barangtidak menjadi beban utama rakyat.

Fahmi menambah, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi khususnya perlu memberikan syor tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan dengan kadar yang segera.

“Bukan setakat penjelasan tetapi apakah tindakan-tindakan yang akan mereka ambil sekarang, setakat ini kita baru dengar pengumuman tentang penubuhan (Pasukan Khas Jihad) tapi saya rasa sepatutnya bila diumum penubuhan sudah ada langkah-langkah.

“Sebelum ini sudah wujud Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL)  sejak tahun 2018 maka semestinya NACCOl telah menjalankan kajian. Sepatutnya taskforce ini mengumumkan apakah saranan, syor, tindakan yang dicadangkan NACCOL. Ini antara yang perlu dilakukan sekarang,” tambah Pengarah Komunikasi PKR itu lagi.

Terdahulu beliau berkata, Jualan Amal Prihatin Rakyat Mydin diadakan dua kali pada bulan ini, menawarkan 50 peratus potongan harga barangan keperluan termasuk tepung minyak dan telur.

Ujar Fahmi, seramai 1,000 keluarga yang layak menikmati jualan ini telah dikenal pasti menerusi persatuan-persatuan penduduk, wakil blok dan sistem pangkalan keluarga miskin iaitu eKasih.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast