KUALA LUMPUR – Seorang warga emas maut dalam kemalangan apabila lori yang dipandunya merempuh sebuah treler rosak di Kilometer (KM) 408.4 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan) berhampiran Tanjung Malim-Lembah Beringin awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, mangsa dikenali sebagai Tan Kim Thian, 60, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala enam lagi mangsa terdiri daripada empat warga Pakistan pula parah serta dua warga tempatan cedera ringan.
Beberapa anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa serta Kuala Kubu Bharu sedang mengangkat mangsa yang maut. Foto Ihsan Bomba.Beliau berkata seramai lapan anggota bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa serta Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, kemalangan itu melibatkan sebuah treler yang membawa muatan beras dan lori 10 tan membawa papan tanda.
“Akibat perlanggaran itu, seorang lelaki berbangsa Cina tersepit di dalam treler dan disahkan meninggal dunia. Manakala dua lagi mangsa tersepit di bawah timbunan papan tanda dan parah di kepala serta badan.
“Dua lagi mangsa yang juga parah berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Hafisham, anggotanya kemudiannya segera mengeluarkan semua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dengan mengambil masa setengah jam.
Beliau berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis, manakala mangsa cedera pula dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette